Page 2 - Q1 V1 RESEARCH@FASS
P. 2
Consultancy@FASS
BANCI SOSIOEKONOMI NELAYAN
DAN DATA ISI RUMAH (SENDI) KETIGA
2017/2018
LEMBAGA KEMAJUAN IKAN Malaysia
Dua orang penyelidik (Profesor Madya Dr. Thirunaukarasu Subramaniam dan Dr. Mazlan Majid)
daripada Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera dan Sains Sosial telah berjaya menyiapkan
satu projek perundingan berjumlah RM219,000.00 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk di
bawah Banci Sosioekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah (SENDI) Ketiga, 2017/2018, Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM). Projek perundingan ini telah disiapkan pada bulan Jun 2020. Banci SENDI
2017/2018 LKIM menggariskan empat objektif iaitu untuk mengkaji tahap pendapatan dan aset yang
dimiliki nelayan; mengkaji tahap kebergantungan terhadap pekerjaan dan tahap produktiviti
penangkapan ikan; mengkaji tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup nelayan serta keluarga; dan
mengkaji tahap penerimaan nelayan dan kesan bantuan atau program pembangunan yang telah
disalurkan oleh kerajaan. Data banci berkenaan telah diperoleh daripada 51,608 orang nelayan
tempatan dari seluruh Malaysia.
(Laporan disediakan oleh Dr. Mazlan Majid, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera & Sains Sosial)
KAJIAN PERUNDINGAN INDEKS KESEJAHTERAAN SOSIAL
NEGERI SARAWAK 2019-2020
Kerja perundingan ini tercetus daripada keperluan Kerajaan Negeri Sarawak, menerusi Majlis
Pembangunan Sosial Sarawak nya untuk mengukur tahap kesejahteraan sosial hidup rakyatnya.
Inisiatif ini diambil oleh pihak kerajaan negeri Sarawak bertujuan untuk mempertingkatkan
kesejahteraan hidup rakyatnya ekoran daripada laporan dan kajian agensi kerajaan persekutuan yang
menunjukkan tahap kesejahteraan hidup rakyat Sarawak (spt., Indeks Kesejahteraan Keluarga
Malaysia, tahap kemiskinan, indeks jenayah) berada pada tahap rendah dan membimbangkan. Kajian
perundingan yang ditaja oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan
Pembangunan Kanak-kanak, Sarawak ini telah diketuai oleh Profesor Dr Siti Hajar Abu Bakar Ah. Para
perunding lain yang terlibat dalam kajian ini adalah Profesor Madya Dr Haris Abdul Wahab, Dr
Noralina Omar, Dr Mashitah Hamidi, Dr Zaiton Azman, Dr Dolly Paul Carlo (Program Kerja Sosial,
UNIMAS) dan Dr Leong Siow Hoo (UiTM, Kuching, Sarawak). Kerja perundingan ini melibatkan satu
kerja lapangan besar-besaran mencakupi segenap aspek fizikal dan sosial negeri Sarawak; iaitu ia
melibatkan kesemua etnik utama dan etnik minoriti Sarawak. Dapatan kajian menunjukkan tahap
kesejahteraan sosial negeri Sarawak berada pada tahap sederhana. Output utama daripada kajian
perundingan ini adalah penderafan satu pelan tindakan transformasi bagi meningkatkan lagi kualiti
hidup rakyat negeri Sarawak. Kerajaan negeri Sarawak beriltizam untuk merealisasikan input-input
signifikan ini dengan melabur secara bijak dalam program-program intervensi sosial yang disyorkan
oleh kerja perundingan ini, agar kesejahteraan sosial negeri Sarawak terjamin, terpulihara dan
terlestari.
(Laporan disediakan oleh Prof. Dr. Siti Hajar Abu Bakar Ah, Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti
Sastera & Sains Sosial)
2 / R E S E A R C H @ F A S S