Page 5 - BUKU PANDUAN ID APIUM 20182019
P. 5

UCAPAN ALU-ALUAN












                                  Assalamu'alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh

                  Bagi  pihak Akademi Pengajian  Islam Universiti Malaya (APIUM), saya amat  berbesar hati  mengalu-alukan
                  kedatangan pelajar-pelajar baru peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2018/2019 di APIUM. Tahniah
                  dan syabas diucapkan kerana anda telah terpilih untuk menyambung pengajian di APIUM.

                  Anda seharusnya berbangga menjadi warga kampus ini kerana Universiti Malaya (UM) merupakan universiti terbaik
                  di Malaysia. Di peringkat antarabangsa, UM berada di kedudukan 46 terbaik dalam Asia University Rankings 2018
                  dan kedudukan 87 terbaik dalam QS World University Rankings 2019.

                  Di peringkat APIUM, pelbagai program pengajian bersifat multi-disiplin ditawarkan. Alumni APIUM kini menceburi
                  pelbagai bidang seperti Pendidikan, Pentadbiran Agama Islam dan Perbankan, Perundangan, Teknologi Maklumat,
                  Sains dan pelbagai cabang lagi. Peluang bidang kerjaya yang lebih luas ini adalah selari dengan kehendak pasaran
                  yang memerlukan graduan serba boleh. Bagi mengekalkan reputasi ini, pihak APIUM akan terus memberikan
                  komitmen dalam memastikan sistem pentadbiran dan pengajian berada dalam kondisi yang terbaik dan berdaya
                  saing.

                  Pelbagai kemudahan juga  disediakan  di APIUM untuk keselesaan anda  mengikuti pengajian.  Selain dari Bilik
                  Seminar dan Dewan Kuliah, pihak Pengurusan APIUM juga menyediakan Student Centre yang dilengkapi dengan
                  kemudahan ruang diskusi dan juga santai rehat.

                  Pelajar  amat dialu-alukan  untuk mendapatkan  maklumat atau khidmat nasihat  berkenaan program pengajian
                  masing-masing  di Kaunter Ijazah  Dasar yang terletak di Aras 4, Blok D.  Luangkanlah sedikit masa untuk ke
                  Bahagian Ijazah Dasar dan sentiasa peka dengan sebarang info terkini. Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat
                  semasa berkenaan Ijazah Dasar di laman muka buku www.facebook.com/Ijazah.Dasar, APIUM.

                  Bagi pihak pentadbiran APIUM, saya berharap agar pelajar dapat memanfaatkan Buku Panduan Ijazah Sarjana
                  Muda sesi 2018/2019 dengan memahami keperluan pembelajaran bagi memastikan kelancaran pengajian.

                  Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas komitmen semua pihak yang terlibat secara langsung
                  dan tidak langsung dalam menyediakan buku ini. Semoga usaha ini dapat membantu melicinkan pentadbiran dan
                  membantu para pelajar merancang pengajian mereka sepanjang bergelar mahasiswa APIUM.

                  Selamat Belajar dan Semoga Berjaya.
                  Sekian.





                  Profesor Dato’ Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Hj. Mohd Yusoff
                  Yang Menjalankan Fungsi Sebagai Pengarah
                  Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya


                                                       5
   1   2   3   4   5   6   7   8   9   10