Page 11 - TINTA HEPA - FEB
P. 11
Yang jauh
didekati
Mahasiswa uM dan jasa mendekati masyarakat pedalaman di kg.
salinatan, Pensiangan, sabah melalui pengangkutan sungai selama 6 jam
Perjalanan yang memakan masa hampir seharian suntuk tidak melemahkan semangat 17 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman
Tuanku Bahiyah (KKTB) yang telah berkunjung ke Kg. Salinatan, Mukim Pensiangan, Sabah, baru-baru ini. Program yang dinamai Ekspedisi Kepimpinan
Baktisiswa ini telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bagi mendekati masyarakat di
pedalaman dengan memberikan sumbangan dan berkongsi pengalaman menerusi aktiviti bersama penduduk.
Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, dan disertai oleh Pengarah JASA Sabah, Kelantan, Melaka dan Perlis,
pegawai-pegawai JASA, RTM Sabah, dan mahasiswa UM dari pelbagai jurusan. Para peserta telah dibawa ke pekan Nabawan, yang terletak kira-kira
180km dari Kota Kinabalu, untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan melalui sungai pada keesokan harinya.
Pengembaraan sebenar bermula dari pekan Nabawan, apabila para peserta perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke jeti
Kuala Salong. Dari sini, para peserta telah dibahagikan kepada kumpulan kecil seramai 3 atau 4 orang untuk menaiki perahu. Dalam perjalanan ke Kg.
Salinatan, delegasi ekspedisi turut singgah ke SK Pensiangan, untuk beramah mesra dengan warga sekolah. Perjalanan melalui sungai ini berakhir di
Kg. Salinatan setelah memakan masa hampir 6 jam.
Menurut Mohamad Hafizi Mohamad Hairy Unggang, pelajar tahun kedua kejuruteraan pembuatan UM yang mengikuti ekspedisi ini, “Walaupun ini kali
pertama saya menjejakkan kaki ke kawasan pedalaman Sabah yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas, namun saya berjaya menyesuaikan
diri bersama rakan-rakan yang lain. Kami akan memastikan hubungan yang terjalin dengan anak-anak di SK Salinatan ini tidak terhenti setakat di sini,
kerana kami ingin melihat mereka menerima peluang pembelajaran yang sama dengan rakan seusia mereka di tempat lain.” Kesemua mahasiswa UM
berpeluang mendekati anak-anak sekolah rendah di SK Salinatan dan SK Sibangali, dan melakukan sedikit aktiviti berkumpulan dan motivasi.
Perasmian program pada malam terakhir ekspedisi, yang disempurnakan oleh Datuk. Dr. Mohd. Puad dan pemimpin masyarakat tempatan, turut
diserikan dengan persembahan dari mahasiswa UM, anak-anak dari SK Salinatan, dan penduduk kampung. Salah seorang pelajar SK Salinatan telah
menyampaikan pidato mengenai cita-citanya yang ingin menjadi seorang pensyarah pada satu hari nanti, dan memikat hati para hadirin dengan
kepetahannya berkata-kata. Para hadirin turut disajikan dengan persembahan tarian Mangunatip, tarian tradisional etnik Murut yang menggunakan
batang buluh.
“Saya mempunyai harapan yang besar kepada mahasiswa UM yang mengikuti ekspedisi ini agar kepulangan mereka ke ibukota nanti akan menjadikan
mereka individu yang berjiwa besar dan lebih peka dengan realiti kehidupan sebenar di dunia luar, terutamanya di kawasan pedalaman. Seterusnya
membuka minda mereka untuk sentiasa mempunyai perasaan ingin menyumbang kepada masyarakat,” kata Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri,
pengetua KKTB yang turut mengikuti ekspedisi ke Kg. Salinatan ini.
Mahasiswa UM yang menyertai ekspedisi ini juga bakal menganjurkan sebuah lagi program khidmat masyarakat di pedalaman Sabah, iaitu di Kg.
Kemabing, Tenom, Sabah pada bulan April 2017 kelak. Program yang dinamai ‘Baktisiswa Secholian’ (BSS) ini adalah program khidmat masyarakat
tahunan pelajar KKTB sejak 2014 yang mendekati komuniti pedalaman di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2014 mereka telah ke Kg. Tanjung Bundong,
Kota Samarahan, Sarawak; Ulu Sugut, Ranau, Sabah pada 2015; dan Katibas, Song, Sarawak pada 2016. Fokus BSS adalah penerapan kepentingan
pendidikan kepada penduduk setempat, melalui aktiviti berkumpulan kepada pelajar-pelajar sekolah, dan program interaktif bersama ibu bapa.