Page 7 - BUKU PANDUAN IJAZAH TINGGI SESI 2018 2019
P. 7
PENGENALAN RINGKAS
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
1. Latar Belakang
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sepertimana yang ada pada hari ini
merupakan gabungan di antara Jabatan Pengajian Islam dan Akademi Islam.
Sebelum ini kedua-dua institusi tersebut merupakan institusi-institusi yang tersendiri
dalam Universiti Malaya.
Jabatan Pengajian Islam ditubuhkan pada tahun 1959 hasil dari hubungan yang
formal antara Kolej Islam Malaya pada waktu itu dan Universiti Malaya. Sejak dari
waktu itu Majlis Kolej Islam berfungsi sebagai penguasa eksekutif kepada jabatan
berkenaan, manakala Senat Universiti Malaya pula mengawasi segala yang
berhubung dengan hal-hal akademik.
Apabila Majlis Kolej Islam Malaya dibubarkan pada tahun 1970, Jabatan Pengajian
Islam telah diletakkan di bawah bidangkuasa Majlis dan Senat Universiti Malaya.
Selama tempoh tersebut sehingga ia bergabung dengan Akademi Islam membentuk
Akademi Pengajian Islam yang disahkan oleh Senat Universiti Malaya pada 25
Januari 1996, jabatan ini merupakan sebuah jabatan di Fakulti Sastera dan Sains
Sosial Universiti Malaya.
Akademi Islam pula yang diisytiharkan penubuhannya pada 1 April 1981 adalah
hasil dari pengambilalihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) yang
telah ditubuhkan pada tahun 1965. Ia mengandungi dua buah fakulti, iaitu Fakulti
Syariah dan Fakulti Usuluddin, satu program ijazah, iaitu program Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan Islam, dan satu program matrikulasi, iaitu Pra Akademi Islam.
Dengan penggabungan ini, Akademi Pengajian Islam telah mula menawarkan
pengajian peringkat Ijazah Tinggi.
Pada tahun 1996, Akademi terus berkembang dengan penubuhan 9 buah Jabatan
dan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Bahagian Pengajian Syariah
mengandungi Jabatan Fiqh dan Usul, Jabatan Syariah dan Undang-undang,
Jabatan Syariah dan Ekonomi, Jabatan Syariah dan Pengurusan dan Jabatan
Siasah Syar’iyyah. Bahagian Pengajian Usuluddin pula terdiri dari Jabatan Akidah
dan Pemikiran Islam, Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Jabatan Sejarah dan
Tamadun Islam dan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan sementara
Bahagian Pengajian Bersama pula mengendalikan program Pendidikan Islam dan
Program Pengajian Islam iaitu meneruskan program pengajian bersama dengan
Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Program Pra-Akademi pula diteruskan dan
dijalankan di kampus cawangan di Nilam Puri, Kelantan.
7