Page 3 - 1_BUKU_PANDUAN_MAKLUMAT_AM
P. 3
KATA ALU-ALUAN
DEKAN
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pertama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kerana berjaya diterima sebagai pelajar di Universiti Malaya, khususnya
di Akademi Pengajian Melayu (APM). Syabas saya ucapkan kerana memilih APM sebagai tempat untuk mendalami ilmu pengajian Melayu
secara holistik. Saya mewakili APM mengalu-alukan kedatangan saudara dan saudari dengan hati yang gembira. Apabila saudara dan
saudari telah mula menjejakkan kaki ke menara gading, bermulalah kehidupan dan persekitaran baharu sebagai seorang mahasiswa/siswi.
Dalam kehidupan kampus, terdapat pelbagai cabaran yang harus saudara dan saudari hadapi. Sebagai pelajar universiti, saudara dan
saudari dianggap lebih dewasa, berfikiran matang dan bertanggungjawab atas keperibadian diri sendiri. Justeru itu, gunakanlah sebaik-
baiknya peluang di kampus ini untuk membina sahsiah diri dan membentuk kemahiran insaniah diri masing-masing. Sertailah pelbagai aktiviti
yang dijalankan oleh pihak APM kerana ia dapat membentuk dan mencorak kehidupan pelajar menjadi lebih bermanfaat serta dapat
menyumbang tenaga dan kemahiran kepada akademi.
Semoga pendidikan formal dan tidak formal yang diperolehi sepanjang tempoh pengajian di universiti akan menjadikan pelajar sebagai
pelapis yang lebih cemerlang dari aspek kerohanian dan intelektual, serta dapat menyumbang jasa ke arah kemajuan agama, bangsa dan
negara. Pihak APM akan berusaha membimbing saudara dan saudari menjadi individu pemikir yang kreatif, proaktif dan produktif bagi
mempersiapkan diri sebagai peneraju masa hadapan, sama ada dalam bidang kerjaya mahupun kehidupan.
Buku panduan ini merupakan sumber rujukan penting bagi para pelajar memahami struktur program dan membuat perancangan rapi dalam
memilih subjek yang sesuai supaya para pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan oleh universiti. Kesemua
kursus yang dimuatkan dalam buku ini disertakan dengan huraian ringkas bagi membolehkan pelajar mendapat gambaran ilmu yang bakal
dipelajari. Nama pensyarah dan e-mel juga ada dimasukkan bagi memudahkan para pelajar mencari maklumat dan bertanya tentang kursus-
kursus yang kendalikan oleh pensyarah mengikut program masing-masing. Selain itu, staf sokongan dan staf pentadbiran juga sedia
membantu dalam memberikan maklumat berkaitan dengan pengajian dan penawaran kursus dalam setiap program.
Saya sentiasa mendoakan semoga semua pelajar akan berjaya dengan cemerlang menamatkan pengajian masing-masing dengan penuh
bangga. Kejayaan cemerlang saudara dan saudari semua semua bukan sahaja merupakan harapan APM, tetapi juga harapan ibu bapa
yang telah sanggup berkorban untuk menghantar para pelajar ke menara gading. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah
orang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR Ibn Hibban). Akhir kata, semoga saudara dan saudari menjadi pelajar yang cemerlang dan
mampu berhadapan dengan dunia kerjaya seiring dengan slogan APM, ‘Berbakti untuk negara. Memberi impak pada dunia”.
PROFESOR MADYA DR SABZALI MUSA KAHN
Dekan
Akademi Pengajian Melayu
2