Page 4 - Buku_Panduan_Program_SME_Versi BM_Sesi_20172018
P. 4

KATA ALUAN

               Selamat datang kepada semua pelajar baru!

               Tahniah di atas kejayaan anda diterima masuk ke Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP).
               Bagi pihak semua kakitangan, saya amat mengalu-alukan kedatangan anda semua, bakal
               pemimpin dan ahli ekonomi negara. Penerimaan masuk anda ke FEP bermakna anda sangat
               hampir untuk mencapai cita-cita dan aspirasi anda. Kami berbesar hati menerima anda dan
               akan membantu untuk memperkasakan prestasi akademik, serta menggalakkan pembentukan
               peribadi dan kreativiti anda.

               Misi Fakulti ini adalah membangunkan kecemerlangan akademik dalam bidang ekonomi dan
               pentadbiran.  Program  yang  ditawarkan  oleh  FEP  bertujuan  untuk  memupuk  dan
               mempertingkatkan  pengetahuan  ekonomi  serta  kebolehan  lain  yang  penting  dalam  dunia
               masa kini  yang sangat kompetitif.  FEP  telah  bertapak  sebagai  salah  satu  Fakulti ekonomi
               terulung di negara ini dan telah melahirkan ramai tokoh terkemuka seperti pemimpin negara,
               ahli ekonomi dan akademik yang bertaraf dunia serta warga korporat yang bertanggungjawab.

               Proses semakan kurikulum program yang dijalankan dari masa ke semasa dengan mengambil
               kira pandangan setiap kumpulan berkepentingan dapat memastikan supaya semua program
               akademik yang ditawarkan mempunyai kandungan kontemporari dan memenuhi permintaan
               pasaran buruh. Program inbound-outbound pula telah diperkenalkan untuk memberi peluang
               kepada  pelajar-pelajar  menimba  pengalaman  menjalani  kehidupan  kampus  di  universiti-
               universiti asing yang bertaraf dunia.

               Terdapat  pelbagai  cara  untuk  mendedahkan  potensi  diri  yang  ditawarkan  oleh  FEP,
               diantaranya  adalah  penglibatan  dalam  projek-projek  penyelidikan,  persatuan  pelajar,
               pertubuhan kampus, sukan inter-varsiti dan kerja sukarela. Saya menggalakkan anda untuk
               mengambil kesempatan ini sepanjang pengajian anda di sini.

               Tenaga  pengajar  FEP  adalah  antara  ahli  akademik  yang  terbaik di rantau  Asia Tenggara.
               Bidang-bidang yang dipelopori adalah ekonomi, pengajian pentadbiran dan politik, pengajian
               pembangunan, dan statistik gunaan. Sebahagian besar telah memperolehi geran penyelidikan
               dan perundingan peringkat antarabangsa, serta telah menerbitkan makalah di dalam jurnal
               berimpak tinggi. Gabungan ahli akademik yang berkaliber serta pelajar yang penuh ketekunan
               telah mewujudkan satu ruang yang kritis dan membina untuk wacana kesarjanaan di Fakulti
               ini.

               Buku panduan ini merupakan bahan rujukan untuk maklumat mengenai program Ijazah Dasar
               di  FEP.  Ia  memberi  panduan  kepada  kursus,  peraturan,  kaedah  penilaian  dan  skim
               penggredan.  Sila  patuhi  arahan  dan  perkara  berkaitan  struktur  program  pengajian  pilihan
               anda.   Selain  daripada  akademik,  adalah  harapan  saya  agar  anda  juga  dapat  menikmati
               suasana sosial yang sangat memberangsangkan yang ditawarkan oleh Fakulti ini.

               Saya  mengucapkan  selamat  maju  jaya  dan  berharap  supaya  anda  akan  mengambil
               kesempatan sebagai penuntut di FEP dengan sebaiknya untuk memperkayakan modal insan
               anda.

               PROFESOR DR. NOOR AZINA ISMAIL
               Dekan





                                                            3
   1   2   3   4   5   6   7   8   9