Page 60 - PERATURAN-PERATURAN UNIVERSITI MALAYA
P. 60
JADUAL C
ANUGERAH AEGROTAT
1. Di mana pelajar telah menyempurnakan sekurang-kurangnya dua pertiga
keperluan bagi program pengajiannya yang memuaskan Senat, tetapi dia
telah terhalang dari menyempurnakan program pengajiannya atas sebab
keuzuran atau sebab-sebab yang munasabah, Senat boleh
menganugerahkan Anugerah Aegrotat di Fakulti yang berkenaan kepada
pelajar tersebut.
2. Anugerah Aegrotat dianugerahkan tanpa kelas atau kepujian dan ia tidak
semestinya melayakkan penerima untuk berdaftar dengan badan
profesional, atau mengecualikannya dari keperluan kelayakan profesional,
atau untuk meneruskan program akademik yang lain atau ke peringkat lain
sesuatu program yang berkemungkinan berkaitan dengan program
pengajian yang berkenaan.
3. Permohonan untuk pertimbangan pemberian suatu Anugerah Aegrotat
hendaklah dibuat oleh pelajar, keluarga pelajar atau waris yang sah secara
bertulis kepada Dekan Fakulti tidak lewat dari satu minggu setelah selesai
kertas peperiksaan akhir pelajar. Permohonan secara bertulis tersebut
hendaklah disertakan bersama laporan perubatan yang dikeluarkan oleh
Pengamal Perubatan Berdaftar di Pusat Perubatan Universiti Malaya,
hospital kerajaan atau hospital swasta.
4. Jawatankuasa Pemeriksa hendaklah mengemukakan kepada Senat satu
laporan mengenai kerja-kerja yang telah disempurnakan oleh pelajar
tersebut di dalam program pengajiannya yang menunjukkan tanpa
sebarang keraguan bahawa beliau sememangnya mampu untuk
memperolehi ijazah yang berkenaan sekiranya tidak berlaku keuzuran atau
sebab-sebab yang menghalang.
5. Untuk program pengajian secara kerja kursus dan mod campuran, pelajar
hendaklah telah menyempurnakan dua pertiga dari jumlah kredit yang
ditetapkan. Bagi program pengajian secara penyelidikan, pelajar tersebut
mesti telah menyempurnakan kajian literatur, kerja makmal, kertas
dan/atau penerbitan dan deraf tesis/disertasi atau lain-lain bukti yang boleh
menunjukkan bahawa pelajar tersebut mampu menyempurnakan
keperluan program pengajiannya sekiranya tidak berlaku keuzuran atau
sebab-sebab yang menghalang.
6. Tiada pelajar boleh dianugerahkan Anugerah Aegrotat lebih dari sekali.
7. Sekiranya pelajar meninggal dunia sebelum menyempurnakan program
pengajiannya, Senat boleh, atau atas perakuan Jawatankuasa Pemeriksa
yang berkenaan dan syarat-syarat yang difikirkan sesuai,
menganugerahkan Anugerah Aegrotat secara serta merta.
77