Page 3 - 6-Buku Panduan Maklumat Am
P. 3
KATA ALU-ALUAN
PENGARAH
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kerana berjaya diterima sebagai pelajar di
Universiti Malaya, khususnya di Akademi Pengajian Melayu (APM). Syabas saya ucapkan kerana memilih APM
sebagai tempat untuk mendalami ilmu pengajian Melayu secara holistik. Saya mewakili APM mengalu-alukan
kedatangan saudara dan saudari semua dengan hati yang gembira. Apabila saudara dan saudari telah mula
menjejakkan kaki ke menara gading, bermulalah satu kehidupan dan persekitaran baharu sebagai seseorang yang
bergelar mahasiswa/siswi.
Dalam kehidupan kampus, terdapat pelbagai cabaran yang harus saudara dan saudari hadapi sepanjang tempoh
pengajian. Sebagai pelajar universiti, saudara dan saudari dianggap lebih dewasa, berfikiran matang dan
bertanggungjawab atas keperibadian diri sendiri. Justeru itu, gunakanlah sebaik-baiknya peluang di kampus ini untuk
membina sahsiah diri dan membentuk kemahiran insaniah diri masing-masing. Sertailah pelbagai aktiviti yang
dijalankan oleh pihak APM kerana ia dapat membentuk dan mencorak kehidupan pelajar menjadi lebih bermanfaat
serta dapat menyumbang tenaga dan kemahiran kepada akademi.
Saya berharap semoga pendidikan formal dan tidak formal yang diperolehi sepanjang tempoh pengajian di university
akan menjadikan pelajar sebagai pelapis yang lebih cemerlang dari aspek kerohanian dan intelektual serta dapat
menyumbang jasa ke arah kemajuan agama, bangsa dan negara. Pihak APM akan berusaha membimbing saudara
dan saudari menjadi individu pemikir yang kreatif, proaktif dan produktif bagi mempersiapkan diri sebagai peneraju
masa hadapan, sama ada dalam bidang kerjaya mahupun kehidupan.
Buku panduan ini merupakan sumber rujukan penting untuk para pelajar memahami struktur program dan membuat
perancangan rapi dalam memilih subjek yang sesuai supaya para pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam
tempoh yang ditetapkan oleh universiti. Kesemua kursus yang dimuatkan dalam buku ini disertakan dengan huraian
ringkas bagi membolehkan pelajar mendapat gambaran ilmu yang bakal dipelajari. Nama pensyarah dan e-mel juga
ada dimasukkan bagi memudahkan para pelajar mencari maklumat dan bertanya berkaitan kursus-kursus yang
kendalikan oleh pensyarah mengikut jabatan masing-masing. Selain itu, staf sokongan dan staf pentadbiran juga
sedia membantu dalam memberikan maklumat berkaitan dengan pengajian dan penawaran kursus dalam setiap
program.
APM sentiasa mendoakan semoga semua pelajar akan berjaya dengan cemerlang menamatkan pengajian
masingmasing dengan penuh bangga. Kejayaan cemerlang saudara dan saudari semua semua bukan sahaja
merupakan harapan APM tetapi juga harapan ibu bapa yang telah sanggup berkorban untuk menghantar para
pelajar ke menara gading. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi
orang lain” (HR Ibn Hibban). Akhir kata, semoga saudara dan saudari menjadi pelajar yang cemerlang dan mampu
berhadapan dengan dunia kerjaya seiring dengan slogan APM, ‘Berbakti untuk negara. Memberi impak pada dunia”.
PROFESOR MADYA DR SABZALI MUSA KAHN
Pengarah
Akademi Pengajian Melayu
2