Page 103 - Bulletin_APM_Mei_Jun2024
P. 103
PENGAJIAN MELAYU MERENTASI DISIPLIN ILMU
NILAI PERPADUAN DALAM PENGENDALIAN IBADAH
KORBAN DI SURAU AL-TAQWA, KLUANG, JOHOR
Oleh: Dr. Nurul Haniza Samsudin & Dr Abd Ganing Laengkang
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Pengendalian ibadah korban bukan hanya sekadar satu amalan agama,
tetapi juga merupakan medium penting dalam mengeratkan perpaduan
dalam kalangan umat Islam. Selain menjadi tuntutan agama, ibadah korban
juga berperanan penting dalam membina dan memperkuat nilai-nilai
ukhuwah serta kebersamaan dalam masyarakat Islam.
Pada 17hb Jun 2024, pelaksanaan ibadah korban ini dilakukan secara
persendirian di rumah dengan bantuan penduduk kampung di sekitarnya.
Dengan perkataan lain, pengendalian sembelihan dilakukan di rumah dan
dibantu oleh jiran terdekat. Kajian pada hari kedua, iaitu 18 Jun 2024
ibadah korban ini dilaksanakan oleh penduduk kampung oleh Persatuan
Penduduk Surau yang telah diamanahkan untuk menguruskannya secara
sistematik di surau Al-Taqwa. Sebanyak tujuh ekor lembu yang disembelih
di tempat penyembelihan dihantar ke surau untuk dilapah, dipotong,
dibungkus dan diagihkan secara bergotong royong.
Nilai-nilai perpaduan dalam ibadah korban dapat dilihat melalui aktiviti
bergotong-royong semasa proses penyembelihan dan pembahagian daging
korban. Aktiviti ini melibatkan penyertaan aktif dari seluruh komuniti dan
menyatukan individu dari pelbagai latar belakang. Melalui aktiviti gotong-
royong ini, anggota masyarakat bukan sahaja menyempurnakan ibadah
tersebut, tetapi memperkukuh ikatan sosial antara satu sama lain.
Semasa proses pembahagian daging korban, nilai perpaduan dapat dilihat
melalui kosnep perkongsian rezeki antara golongan kaya dengan golongan
kurang bernasib baik. Hal ini dapat merapatkan hubungan persaudaraan
kedua-dua golongan. Nilai-nilai ini wujud atas dasar kebersamaan.
103