Page 102 - Bulletin_APM_Mei_Jun2024
P. 102
PENGAJIAN MELAYU MERENTASI DISIPLIN ILMU
PERPUSTAKAAN PENGAJIAN MELAYU:
AKTIVITI DAN PERISTIWA
Oleh: Encik Haslan Tamjehi
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Perpustakaan Pengajian Melayu (PPM) tidak hanya menyediakan bahan bacaan kepada
penggunanya tetapi turut menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan sumber perpustakaan
dan bidang pengajian fakulti. Sepanjang bulan Mei dan Jun tahun 2024, terdapat
beberapa maklumat aktiviti dan peristiwa yang dapat dikongsikan.
Pameran Bertema PPM yang diadakan secara bulanan telah mempamerkan beberapa
koleksi perpustakaan . Pada bulan Mei yang lalu , tujuh (7) judul buku berkaitan bidang
Semantik dipamerkan. Pada di bulan Jun, novelis Pramoedya Ananta Toer, yang
merupakan Sasterawan tersohor Indonesia telah diangkat sebagai tema pameran.
Sebanyak 14 judul berkaitan tokoh ini telah dipamerkan kepada pengguna.
Pemergian mantan Ketua Pustakawan Universiti Malaya (1984- 1993), iaitu mendiang
Puan Khoo Siew Mun pada 11 Mei 2024 merupakan satu kehilangan besar kepada
perpustakaan Universiti Malaya. Dedikasinya dalam memimpin dan membangunkan
koleksi perpustakaan akademik pertama negara demi memenuhi keperluan sumber
rujukan untuk pelajar dan akademik UM adalah sumbangan dan jasa yang penting dan
perlu dihargai.
Perpustakaan adalah gedung ilmu dan maklumat. Namun demikian, penggunaannya
seharusnya tidak terhad sebagai pusat rujukan sahaja. Oleh yang demikian PPM
sentiasa membuka ruang untuk aktiviti ilmiah seperti pengajaran sebagai antara
pengisiannya. Sehubungan itu Dr Shafaatussara Silahudin telah mengadakan kelas
kursus JIF3011” Seni & Budaya Popular Melayu” di Dewan Bacaan A pada 7 Mei 2024
yang lalu. Ini merupakan antara kursus yang pernah diadakan oleh para pensyarah APM
di dalam Perpustakaan. Utilisasi Perpustakaan untuk aktiviti fakulti amat digalakkan oleh
Pengurusan Perpustakaan Universiti Malaya.
PPM telah menganjurkan sesi pendeklamasian pantun bertema budi pada 21 Mei 2024
di bawah Program Raikan Budaya dan Bahasa. Pantun tentang budi sebanyak 5
rangkap telah dideklamasikan oleh En. Muhammad Nazim Syazwi Bin Emran, pelajar
tahun 3 dari Jabatan Linguistik APM.
Kunjungan penyelidik dari Universitas Muhamadiyah Yogyakarta, Indonesia pada 11
Jun 2024 iaitu Dr Mahli Zainuddin Tago telah ditandai dengan sumbangan tiga buah
buku tulisan beliau iaitu Kerinci tentang tanah kelahiran, Rencong Telang: Komunitas
adat di Sumatera Tengah dan Islam syariat dan Islam sinkretis di Kerinci Hilir. Buku -
buku yang telah disumbangkan ini memperkayakan koleksi Perpustakaan dan
seterusnya mempelbagaikan lagi sumber rujukan dalam bidang Pengajian Melayu.
Harapan PPM adalah sumber rujukan dan aktiviti yang disediakan dapat dimanfaatkan
oleh pengguna. Perpustakaan amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan komentar
untuk penambahbaikan perkhidmatannya. Sila emailkan ke: haslan@um.edu.my.
102