Page 110 - VC Message
P. 110
Leading with Purpose
Messages of the Vice Chancellor MESSAGES OF THE VICE CHANCELLOR
Mesej daripada Naib Canselor
Warga Kampus yang Dihormati,
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
1. Menjelang penghujung tahun, adalah amat penting untuk kita memperkukuh lagi
refleksi, kesiapsiagaan serta keupayaan kebersamaan kita, bukan sahaja dalam
meningkatkan daya tahan, malah dalam melipatgandakan usaha bagi menghadapi
cabaran tahun hadapan.
2. Terdapat pelbagai peristiwa dan program besar pada suku terakhir tahun ini
yang telah mengangkat prestij, profil dan imej kita, daripada International Week
sehinggalah Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-65 yang baharu sahaja
berakhir. Walaupun acara-acara ini menuntut tenaga yang besar dan amat
mencabar, ia melambangkan kekuatan bersama serta kerangka kolektif kita
dalam bergerak sebagai kuasa tunggal bersama, melangkaui sempadan fakulti,
jabatan dan pusat.
3. Semua ini turut meningkatkan kehadiran dan pengiktirafan kita di peringkat
nasional dan global, dan ini tidak mungkin tercapai tanpa dedikasi, ketekunan
serta kecekalan setiap warga. Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua.
4. Namun begitu, usaha dan tekad kita masih jauh daripada selesai, khususnya apabila
102 kita berhadapan dengan arus perubahan yang pantas serta ketidaktentuan yang
sukar diramal, yang akan menimbulkan cabaran sistemik dan struktural dalam
semua aspek — daripada kewangan, kepada kerelevanan dan kebolehpercayaan
tawaran akademik kita, serta impak penyelidikan yang kita hasilkan.
5. Ketidaktentuan dan ketegangan geopolitik yang meningkat, tekanan ekonomi
yang semakin ketara, cabaran sosioekonomi yang berpanjangan, jurang
kesihatan dan pembangunan, bencana alam akibat perubahan iklim yang
melanda dunia termasuk negara kita, serta pelbagai cabaran kemasyarakatan
yang lain bukan sahaja membawa risiko masa kini dan masa hadapan, malah
menjadi dorongan penting kepada komuniti akademik dan penyelidikan kita untuk
terus menghasilkan penemuan bertaraf dunia dalam menyediakan penyelesaian
kepada cabaran nasional, serantau dan global yang menjejaskan kehidupan
seharian rakyat, kerajaan dan kemanusiaan secara keseluruhan.
6. Sudah berlalu masanya untuk Universiti Malaya kekal terperangkap dalam cara
kerja konvensional, norma lapuk serta pemikiran, kepercayaan dan budaya yang
usang - yang mudah berpuas hati dengan piawaian biasa atau sekadar memenuhi
penunjuk prestasi minimum.
7. Semua ini adalah tinggalan masa lalu. Ketika cabaran semakin ketara, begitu juga
dengan keazaman dan tekad kita untuk sentiasa berada di hadapan, memiliki
keupayaan jangkaan strategik, motivasi kendiri dan tanggungjawab diri bagi
menunaikan amanah dan kehormatan tertinggi sebagai pemegang panji tertua dan
terbaik negara dalam memimpin serta mempertahankan benteng kelangsungan
dan kepentingan negara.
8. Tiada institusi lain yang seperti kita, dan tidak akan pernah ada untuk masa akan
datang. Apabila seseorang telah menyerap ke dalam DNA Universiti Malaya
dan menjadi sebahagian daripada Keluarga UM, maka secara asas dan atas
tanggungjawab diri, wujud kewajipan moral dan tindakan berteraskan amanah
untuk menunaikan penghormatan tersebut serta memainkan peranan demi
negara, rakyat dan dunia.

