Page 3 - Maklumat Am
P. 3
KATA ALU-ALUAN
PENGARAH
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kerana berjaya
diterima sebagai pelajar di Universiti Malaya, khususnya di Akademi Pengajian Melayu (APM).
Syabas saya ucapkan kerana memilih APM sebagai tempat untuk mendalami ilmu pengajian
Melayu secara holistik. Saya mewakili APM mengalu-alukan kedatangan saudara dan saudari
semua dengan hati yang gembira. Apabila saudara dan saudari telah mula menjejakkan kaki
ke menara gading, bermulalah satu kehidupan dan persekitaran baharu sebagai seseorang
yang bergelar mahasiswa/siswi.
Dalam kehidupan kampus, terdapat pelbagai cabaran yang harus saudara dan saudari hadapi
sepanjang tempoh pengajian. Sebagai pelajar universiti, saudara dan saudari dianggap lebih
dewasa, berfikiran matang dan bertanggungjawab atas keperibadian diri sendiri. Justeru itu,
gunakanlah sebaik-baiknya peluang di kampus ini untuk membina sahsiah diri dan
membentuk kemahiran insaniah diri masing-masing. Sertailah pelbagai aktiviti yang
dijalankan oleh pihak APM kerana ia dapat membentuk dan mencorak kehidupan pelajar
menjadi lebih bermanfaat serta dapat menyumbang tenaga dan kemahiran kepada akademi.
Saya berharap semoga pendidikan formal dan tidak formal yang diperolehi sepanjang tempoh
pengajian di university akan menjadikan pelajar sebagai pelapis yang lebih cemerlang dari
aspek kerohanian dan intelektual serta dapat menyumbang jasa ke arah kemajuan agama,
bangsa dan negara. Pihak APM akan berusaha membimbing saudara dan saudari menjadi
individu pemikir yang kreatif, proaktif dan produktif bagi mempersiapkan diri sebagai peneraju
masa hadapan, sama ada dalam bidang kerjaya mahupun kehidupan.
Buku panduan ini merupakan sumber rujukan penting untuk para pelajar memahami struktur
program dan membuat perancangan rapi dalam memilih subjek yang sesuai supaya para
pelajar berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan oleh universiti.
Kesemua kursus yang dimuatkan dalam buku ini disertakan dengan huraian ringkas bagi
membolehkan pelajar mendapat gambaran ilmu yang bakal dipelajari. Nama pensyarah dan
e-mel juga ada dimasukkan bagi memudahkan para pelajar mencari maklumat dan bertanya
berkaitan kursus-kursus yang kendalikan oleh pensyarah mengikut jabatan masing-masing.
Selain itu, staf sokongan dan staf pentadbiran juga sedia membantu dalam memberikan
maklumat berkaitan dengan pengajian dan penawaran kursus dalam setiap program.
APM sentiasa mendoakan semoga semua pelajar akan berjaya dengan cemerlang
menamatkan pengajian masing-masing dengan penuh bangga. Kejayaan cemerlang saudara
dan saudari semua semua bukan sahaja merupakan harapan APM tetapi juga harapan ibu
bapa yang telah sanggup berkorban untuk menghantar para pelajar ke menara gading.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang
lain” (HR Ibn Hibban). Akhir kata, semoga saudara dan saudari menjadi pelajar yang
cemerlang dan mampu berhadapan dengan dunia kerjaya seiring dengan slogan APM,
‘Berbakti untuk negara. Memberi impak pada dunia”.
PROFESOR MADYA DR SABZALI MUSA KAHN
Dekan
Akademi Pengajian Melayu
2