Page 8 - Maklumat Am
P. 8
BAHAGIAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN
DI AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan ditubuhkan bagi mengendalikan dan
menyelaraskan kegiatan-kegiatan penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan.
Aktiviti Penyelidikan menumpukan perhatian kepada penyelidikan dalam bidang-bidang yang
sedia ada dalam Pengajian Melayu, Bahasa dan Linguistik Melayu, Kebudayaan Melayu dan
Kesusasteraan Melayu. Bahagian ini turut memberi penekanan dan penerokaan beberapa
bidang utama seperti Sejarah Alam Melayu, Politik dan Ekonomi Melayu, Pemikiran dan
Falsafah Melayu, Kesenian Melayu, Permodenan Masyarakat Melayu, Orang Melayu dalam
Konteks Sains dan Teknologi, Agama dan Kepercayaan dalam Masyarakat Melayu, Pengajian
Etnik dalam Dunia Melayu dan lain-lain.
Aktiviti Dokumentasi menumpukan kegiatan kepada kerja-kerja pendokumentasian yang
merupakan satu usaha yang berterusan, selaras dengan prinsip-prinsip ilmiah dan
kesarjanaan Pengajian Melayu. Kegiatan ini bercorak menyokong dan meningkatkan taraf
kesarjanaan bidang Pengajian Melayu. Pendokumentasian melibatkan kegiatan yang luas
yang meliputi pengumpulan manuskrip Melayu, bahan-bahan tradisi lisan Melayu, kumpulan
hasil audio dan visual Melayu, bahan-bahan budaya kebendaan, karya-karya sastera Melayu
dan Bibliografi Melayu.
Aktiviti Penerbitan melengkapi kegiatan-kegiatan penyelidikan dan dokumentasi yang
dijalankan. Hasil-hasil penyelidikan, kerja-kerja dokumentasi, kerja-kerja transliterasi teks dan
sebagainya diterbitkan untuk dijadikan rujukan kepada semua lapisan ilmuwan terutamanya
kepada mereka yang berminat dalam bidang Pengajian Melayu.
7