Page 104 - Bulletin_APM_Nov_Dis2024
P. 104
PENGAJIAN MELAYU MERENTASI DISIPLIN ILMU
MAHRAJAN PERSURATAN ISLAM NUSANTARA SABAH KE-14
Nurhamizah Hashim
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
18 Julai 2024 (Khamis) telah berlangsungnya Nadwah Sastera Islam Sabah bertempat
di Dewan Pimping, Membakut, Sabah. Program ini telah dianjurkan oleh Kerajaan
Negeri Sabah melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, dengan
Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Majelis Ugama Islam
Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Nadwah
Sastera Islam pada tahun 2024 ini menampilkan Dr.Panji Partama, Dr.Nurhamizah
Hashim dan Datuk Jasni Matlani sebagai panel undangan bagi membicarakan tentang
Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI.
Panel pertama, Dr. Panji Partama, seorang guru di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu
(SIKK), telah membentangkan kertas kerja yang menarik bertajuk ‘Ekranisasi Prosa
Islam Klasik dalam Permainan (Game). Menurut beliau, kekayaan novel-novel sastera
yang telah diangkat ke layar perak, terutamanya filem kini berpeluang untuk diolah
dalam bentuk yang lebih inovatif, iaitu permainan video.
Dr. Panji menerangkan bahawa karya-karya sastera Islam klasik yang selama ini
dipersembahkan dalam filem, boleh diterjemahkan pula ke dalam pengalaman interaktif
melalui permainan video. Ini bukan sahaja membuka peluang untuk memperkenalkan
unsur-unsur budaya dan nilai-nilai Islam dengan cara yang lebih moden, malah
memberikan ruang untuk penjelajahan kreatif dalam menyampaikan cerita-cerita Islam
klasik kepada generasi muda, dalam cara yang lebih menarik dan mudah diakses.
Manakala panel kedua, Dr. Nurhamizah Hashim, telah membentangkan kertas kerja
yang bertajuk ‘Ibrah Keagamaan dalam Kumpulan Cerpen Mencari Warna Daun’ karya
penulis Sabah, iaitu Juri Durabi. Menurut Dr. Nurhamizah, konsep Ibrah, yang merujuk
kepada pengajaran atau hikmah dalam perspektif Islam, sangat penting dalam
sesebuah karya sastera. Ibrah ini berfungsi sebagai panduan atau petunjuk yang
menghubungkan pengarang dengan pembaca, memberikan pengajaran yang relevan
dalam kehidupan seharian. Dalam kertas kerja ini, Dr. Nurhamizah menekankan
bagaimana karya sastera, khususnya cerpen Mencari Warna Daun, mengandungi nilai-
nilai agama yang mendalam, yang mampu memberi inspirasi dan bimbingan kepada
pembaca dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan.
Panel terakhir, Datuk Jasni Matlani, membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Bicara
Menyapa Aqsa: Sastera untuk Pengabadian’. Kumpulan puisi Menyapa Aqsa
merupakan karya Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, yang juga Menteri Sains, Teknologi,
dan Inovasi Sabah, dijadikan bahan kajian dalam pembentangan beliau. Buku ini
dianggap sebagai manifestasi pernyataan penulis terhadap kekejaman rejim Yahudi dan
tragedi kemanusiaan yang berlaku di Gaza. Menurut Datuk Jasni, pengarang
menggunakan puisi sebagai medium untuk meneroka persoalan tentang hakikat
kemanusiaan, serta hubungan antara manusia dengan khalik, dengan matlamat untuk
mengabdikan diri kepada Allah SWT. Puisi-puisi dalam karya ini tidak hanya
menggambarkan kesedihan dan keprihatinan terhadap penderitaan manusia, tetapi juga
mencerminkan harapan terhadap keadilan dan kebenaran yang datang dari Allah SWT.
104