Page 108 - Bulletin_APM_Nov_Dis2024
P. 108
PENGAJIAN MELAYU MERENTASI DISIPLIN ILMU
BAJAU LAUT: WARISAN BUDAYA MARITIM YANG TERANCAM
Dr. Abdul Muqit Muhammad
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
(sambungan)
Berikut ialah beberapa cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Bajau laut:
Warga tanpa Negara (Statelessness)
Salah satu isu paling kritikal yang dihadapi oleh Bajau Laut adalah ketiadaan kewarganegaraan.
Menurut Salleh et al. (2021), status tanpa negara menyebabkan mereka kehilangan akses kepada
pendidikan, perkhidmatan kesihatan, dan peluang ekonomi, yang seterusnya memperburuk
marginalisasi mereka. Status tanpa negara telah menyedut mereka ke dalam kitaran ganas
kemiskinan dan gejala sosial. Sudah menjadi pandangan biasa di sana, apabila kanak-kanak seawal
umur 5 tahun sudah dinormalisasikan menghidu gam bagi melupakan kemiskinan. Harga seplastik
gam jauh lebih murah berbanding dengan harga makanan dan berhasil melupakan kelaparan mereka
sehingga ke malam.
Penyempitan Ruang Maritim
Peraturan perikanan dan sempadan maritim yang ketat telah menyempitkan ruang laut yang menjadi
sumber pencarian utama mereka. Kajian oleh Tahara & La Ode Malim (2021) menunjukkan
bagaimana tekanan ekonomi dan undang-undang telah memaksa Bajau Laut meninggalkan cara
hidup tradisional mereka. Wilayah hidup mereka, dalam konteks orang asli di Malaysia dikenali
sebagai tanah rayau telah dibataskan dengan sempadan negara moden yang memyempitkan ruang
pencarian sumber makanan kepada mereka.
Penyisihan Budaya
Globalisasi dan tekanan asimilasi telah menjejaskan identiti budaya Bajau Laut. Anak-anak muda
semakin menjauhkan diri dari bahasa dan tradisi mereka, seperti yang dinyatakan oleh Yakin &
Mahali (2007). Budaya asal seperti seni bela diri seperti kuntau, lagu adat terpaksa disisihkan bagi
beradaptasi dengan budaya darat. Sifat semula jadi mereka sebagai penyelam dasar laut mula
beralih kepada kerja-kerja pertukangan rumah yang tidak setimpal bayaran mereka.
Adaptasi dan Ketahanan Komuniti
Bahasa memainkan peranan penting dalam membentuk identiti Bajau Laut. Kajian linguistik
menunjukkan bahawa variasi dialek dalam kalangan komuniti ini menjadi sempadan budaya yang
membezakan mereka daripada komuniti lain. Dalam interaksi dengan masyarakat luar, kod peralihan
sering digunakan untuk menyesuaikan diri dengan konteks sosial dan politik (Yakin & Mahali, 2007).
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Bajau Laut telah menunjukkan adaptasi dan ketahanan
yang luar biasa. Kajian oleh Bellina (2016) mencatatkan bagaimana mereka menyesuaikan strategi
mencari makan dan pola migrasi untuk bertahan dalam persekitaran yang berubah. Walau
bagaimanapun, perubahan ini sering datang dengan kos kepada identiti budaya mereka yang makin
terpinggir.
Kepentingan memelihara tradisi masyarakat Bajau Laut
Bajau Laut memiliki warisan budaya yang unik dan penting untuk dipelihara, bukan sahaja untuk
komuniti itu sendiri tetapi juga sebagai sebahagian daripada warisan budaya global. UNESCO boleh
memainkan peranan penting dalam mengiktiraf tradisi mereka sebagai Warisan Budaya Tidak
Ketara. Kajian seperti oleh Salleh et al. (2021) dan Tahara & La Ode Malim (2021) mencadangkan
keperluan untuk dasar kerajaan yang inklusif bagi melindungi hak-hak Bajau Laut. Kerajaan Negeri
Sabah dan Kementerian Dalam Negeri boleh bekerjasama untuk menyelesaikan isu
kewarganegaraan dan hak tanah mereka. Baru-baru ini, Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah turut
menyebutkan bahawa kerajaan negeri Sabah akan berusaha sepenuhnya untuk melindungi
masyarakat Bajau Laut sesuai dengan kedudukan mereka sebagai peribumi di Sabah.
Kerajaan negeri Sabah boleh memanfaatkan peluang tersebut dengan promosi pelancongan
Berasaskan budaya. Tradisi dan gaya hidup Bajau Laut boleh menjadi tarikan utama dalam
pelancongan budaya dan ekopelancongan, seperti yang dicadangkan oleh Bellina (2016). Ini boleh
memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti sambil meningkatkan kesedaran global mengenai
warisan mereka.
Kesimpulan
Bajau Laut adalah contoh komuniti maritim yang luar biasa dengan budaya yang kaya dan sejarah
panjang. Namun, mereka kini berada di persimpangan jalan, terancam oleh tekanan globalisasi,
marginalisasi, dan isu legal. Kajian dan usaha pemeliharaan yang komprehensif diperlukan untuk
memastikan kelangsungan hidup budaya dan identiti mereka. Kolaborasi antara kerajaan, NGO, dan
organisasi antarabangsa seperti UNESCO sangat penting dalam memperjuangkan hak dan warisan
Bajau Laut untuk generasi akan datang.
108