Page 21 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 21
LENSA DI CAPPADOCIA: Nur Malissa Sofea Suzaiman (sambungan 4)
Ketika sesi pagi berakhir, Mikail mendekatinya. “Mata kamu tajam,”
komen Mikail ketika melihat hasil gambar pertama Aireen. “Kamu tahu
bagaimana untuk menjadikan pakaian tersebut sebagai objek
utamanya, bukan hanya tertumpu kepada modelnya sahaja.”
“Terima kasih,” Aireen sedikit tersipu. “Adakah ini pertama kali awak
di Cappadocia?” Mikail merenung matanya.
Aireen mengangguk. “Ya. Saya sudah lama ingin datang ke sini, dan
ini seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Saya teringin untuk berdiri
di atas belon udara.” Mikail tersenyum. “Cappadocia memang
mempunyai cara untuk membuat orang jatuh cinta. Saya sering
datang ke sini untuk mencari inspirasi. Saya boleh menunjukkan
beberapa tempat yang mungkin akan buat awak jatuh cinta.”
Hari-hari berikutnya di Cappadocia terasa seperti dunia kayangan
Aireen. Mikail, yang awalnya hanya seorang klien, mulai menjadi
pemandu tidak rasmi baginya. Dia membawa Aireen ke Uchisar
Castle untuk melihat matahari terbenam, di kota bawah tanah
Kaymaklı yang penuh sejarah, dan bahkan ke tempat-tempat
tersembunyi yang jarang dikunjungi orang.
Mereka berbahagi cerita sepanjang perjalanan. Mikail bercerita
tentang kehidupannya yang tidak selalu indah, bagaimana dia
kehilangan ibu bapanya semasa kemalangan sewaktu dia masih kecil
dan dia membina empayar butiknya seorang diri, sementara Aireen
bercerita tentang mimpinya yang sederhana, iaitu mengabadikan
keindahan dunia melalui kameranya.
“Apa yang membuat awak memilih fotografi?” Suara Mikail bergema
ketika mereka berjalan di Love Valley. “Fotografi mengajarkan saya
untuk melihat dunia dengan lebih berhati-hati,” Ada nada tegas Aireen
dan bunyi berpendirian. “Saya suka bagaimana setiap momen boleh
diabadikan, bahkan yang paling sederhana sekalipun.” Mikail
mengangguk perlahan, seolah-olah memahami setiap kata yang
dilontarkan Aireen. Pada malam di Cappadocia, Mikail mengajaknya
ke sebuah bukit kecil di Göreme untuk melihat bintang. Langit malam
itu begitu jernih, dipenuhi ribuan bintang yang bersinar dan terang.
“Terima kasih sudah membuat projek ini lebih dari sekadar pekerjaan,”
mata Mikail melirik panjang. Aireen menoleh kepadanya. “Apa
maksud awak?” “Biasanya, setiap sesi bergambar hanya tentang
hasil akhir. Tapi dengan awak, saya berasa setiap prosesnya bererti
bagi saya. Awak bukan sahaja memotret, tetapi juga memberi makna
pada setiap gambar.” Aireen terdiam, merasa hangat oleh kata-kata
itu.
21

