Page 19 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 19
LENSA DI CAPPADOCIA: Nur Malissa Sofea Suzaiman (sambungan 2)
Hingga akhirnya, sebuah kesempatan datang diatur Tuhan dengan
baik sekali. Seorang pereka fesyen dari Istanbul, Mikail,
menghubunginya melalui e-mel untuk sebuah projek penggambaran di
Cappadocia. Mikail merupakan pereka dan juga pemilik butik pakaian
mewah yang semakin masyhur. Dia ingin melakukan sesi
penggambaran untuk mempromosikan koleksi terbarunya. Lokasi
yang dipilih ialah lembah-lembah indah Cappadocia.
Saat membaca e-mel itu, Aireen hampir tidak percaya. Dia menerima
tawaran itu tanpa ragu sedikit pun. Ini adalah saatnya. Dengan
pantas, Aireen mengemas barang-barangnya ke dalam bagasi hitam
untuk membuat persiapan ke Turki. Hari yang dinanti-nantikan Aireen
telah pun tiba. Aireen menuju ke lapangan terbang ditemani
keluarganya. Perjalanan Aireen mengambil masa selama 10 hingga
11 jam. Perasaan gembira dan teruja membuatkan dia tidak berasa
lama sepanjang perjalanannya itu.
Hari pertama di Cappadocia dimulai dengan pagi yang dingin di
Göreme. Aireen membawa kameranya ke lokasi yang telah ditentukan
di Rose Valley. Tempat ini seperti berada di dunia lain, penuh
keajaiban. Sebagai seorang jurugambar, Aireen sudah terbiasa
dengan keindahan pemandangan, tetapi Cappadocia mempunyai aura
yang tersendiri yang membuatkan dia terpesona. Semasa dia sibuk
menyusun peralatan, seorang jejaka dengan pakaian kasual dan
elegan mendekatinya.
“Awak pasti Aireen,” katanya dengan senyuman ramah. Aireen
menoleh. “Dan awak pasti Mikail.” “Benar. Terima kasih sudah datang
dan menerima projek ini. Saya sudah lama mengagumi hasil karya
awak” jawabnya sambil menghulurkan tangan. Aireen mengangguk
sambil menjabat tangannya. “Terima kasih. Kita akan mula sesi
penggambaran di sana,” Aireen menunjuk ke arah batu kapur besar
dengan cahaya pagi yang cerah. Mikail tampak ramah dan
profesional, ada sesuatu dalam caranya berbicara yang membuatkan
Aireen berasa selesa dengannya.
Mereka memulai sesi pertama bawah cahaya matahari pagi. Mikail
membawa beberapa model yang mengenakan koleksi pakaiannya,
sementara Aireen dengan cekap mengatur sudut, cahaya, dan pose.
Formasi batu-batu yang megah di belakang mereka menjadi latar
sempurna untuk setiap gambar. Sebagai pemilik butik pakaian
mewah, Mikail juga berpengalaman menjadi model untuk pakaiannya
sendiri, dia tampak professional di hadapan kamera dan tidak kekok.
19

