Page 18 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 18
LENSA DI CAPPADOCIA
Nur Malissa Sofea Suzaiman
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
“SATU hari nanti, aku akan berada di sana,” bisik Aireen kepada
dirinya sendiri. Aireen, gadis bertubuh kecil mahasiswa bidang
Fotomedia Kreatif di universiti tempatan. Dia sangat suka mengambil
video dan gambar-gambar keindahan alam yang kaya dengan
pemandangan yang menakjubkan. Ia membuatkan Aireen berasa
tenang dan ingin belajar menerokai dengan lebih mendalam tentang
dunia fotografi.
Suatu hari, pada pagi yang cerah, Aireen menatap rapat-rapat ke arah
skrin laptopnya, memperhatikan serangkaian gambar yang diambil
olehnya di taman kampus. Tugas akhir semester untuk kursus fotografi
itu mengharuskannya memotret tema “cahaya dan bayangan.” “Setiap
gambar yang dipotret harus mempunyai cerita”, pesan Profesornya.
Namun, fikiran Aireen melayang jauh dari layar. Aireen sedang
menatap peta yang terbentang di hadapannya. Di bawah cahaya
matahari pagi yang menyinari biliknya, timbul perasaan yang tidak
dapat dijelaskan, iaitu semangat yang besar. Aireen selalu
membayangkan dirinya terbang bebas di atas belon udara yang
mewarnai langit Cappadocia dan dia tidak akan melepaskan
peluangnya untuk mengambil gambar di setiap sudut.
Belon panas itu dikatakan dapat menerbangkan setinggi 6000 kaki
untuk melihat pemandangan yang indah di Cappadocia. Setiap kali dia
menonton dokumentari tentang tempat itu, matanya bersinar.
Cappadocia adalah tempat yang selalu memikat hatinya sejak dia
mulai belajar tentang fotografi. Lanskap uniknya, formasi batu-batu
kapur yang menjulang, gua-gua yang menyimpan kisah beribu tahun,
dan belon udara yang terbang setiap pagi tampak seperti mimpi. Bagi
Aireen, itu bukan hanya sekadar lokasi, tetapi Cappadocia adalah
simbol kebebasan, tempat di mana dia merasakan jiwanya benar-benar
hidup. Bagi dia, negara Turki juga adalah tempat yang misteri dan
mempersona, pertemuan antara Timur dan Barat, kaya akan sejarah,
dan budaya.
Hatinya berdegup kencang setiap kali dia memikirkan kemungkinan
untuk berada di sana suatu hari nanti. Masa berlalu begitu pantas,
Aireen akhirnya menamatkan zaman belajarnya dan dia memulakan
kariernya sebagai seorang jurugambar professional. Selama beberapa
tahun, dia mengasah bakatnya dalam dunia fotografi dengan memotret
majlis pernikahan, acara, projek-projek peribadi, dan pemandangan.
Aireen juga memuat naik gambar-gambar yang dipotret sendiri di
media sosial seperti di aplikasi Instagram dan Twitter. Setiap projek
yang diambil adalah langkah yang lebih dekat untuk menuju mimpinya
untuk menjejakkan kaki di Cappadocia.
18

