Page 22 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 22

LENSA DI CAPPADOCIA: Nur Malissa Sofea Suzaiman (sambungan 5)




           “Terima kasih. Tetapi projek ini juga istimewa bagi saya. Cappadocia adalah
           mimpi saya sejak lama.”         Mikail tersenyum. “Mungkin ini baru permulaan.
           Mimpi lain akan datang selepas ini.”            Mereka duduk dalam keheningan,
           memandang langit malam. Aireen menyedari bahawa Cappadocia bukan
           hanya memberi mimpi, tetapi juga perasaan yang tak pernah dia duga selama
           ini. Hari-hari berikutnya membuatkan hubungan mereka semakin dekat. Mikail
           sering menghabiskan waktu berbicara dengan Aireen selepas penggambaran.
           Mikail menunjukkan koleksi rekaan yang sedang dia hasilkan dan meminta
           pendapat Aireen. Namun, keakraban hubungan mereka itu membawa mereka
           ke jurang konflik.


           Pada hari terakhir mereka di Cappadocia, Aireen menerima panggilan
           mendadak daripada seorang wartawan. Dia meminta pengesahan tentang
           khabar angin bahawa Mikail sedang menghadapi tuduhan plagiarisme atas
           beberapa rekaannya. Aireen terkejut dan terus mencari Mikail. “Apa maksud
           semua ini, Mikail? Mereka memberitahu rekaan awak bukan asli,” ternyata
           Aireen begitu kecewa.           Wajah Mikail berubah tegang. “Siapa yang
           memberitahu awak?” “Itu tidak penting. Adakah ini benar?”

           Mikail diam sejenak sebelum akhirnya mengaku. Beberapa rekaan yang
           membawa kejayaan awalnya diilhami atau lebih tepat, ditiru dari seorang
           pereka lama yang kini sudah tiada. Dia menganggap itu sebagai ‘inspirasi’,
           tetapi orang lain menganggapnya ‘plagiarisme’.            “Saya tidak punya pilihan
           waktu itu,” akui Mikail. “Saya perlu sesuatu untuk memulakan, dan sekarang
           saya sudah jauh lebih baik. Koleksi yang awak ambil gambarnya adalah asli!”
           “Tetapi apa yang awak lakukan ini tetap salah,” Aireen benar-benar kecewa.
           “Macam mana saya boleh bekerja dengan seseorang yang tidak jujur?”

           Mikail cuba untuk membela diri, tetapi kepercayaan Aireen telah musnah.
           Baginya, seni adalah tentang kejujuran, dan tindakan Mikail bertentangan
           dengan prinsip itu. Hubungan mereka retak sejak saat itu. Aireen kembali ke
           Istanbul dengan perasaan hampa. Dia berasa telah menemukan seseorang
           yang dia percayai, hanya untuk kecewa pada akhirnya.


           Namun, beberapa minggu kemudian, Aireen menerima sebuah kotak yang
           diikat dengan reben. Di dalamnya terdapat sepucuk surat daripada Mikail
           bersama-sama sebuah gaun hasil rekaannya sendiri.
           “Maafkan saya atas segala yang terjadi. Saya tahu saya telah mengecewakan
           awak, tetapi pertemuan kita membuatkan saya sedar akan sesuatu. Seni harus
           berasal dari hati, bukan daripada keinginan untuk mendapatkan sesuatu
           kedudukan. Ini adalah rekaan pertama saya yang benar-benar jujur, dan saya
           mahu awak menjadi orang pertama yang melihatnya. Terima kasih telah
           membuka mata saya. – Mikail.”

           Aireen melihat gaun itu dengan mata berkaca. Surat itu menunjukkan bahawa
           Mikail telah berubah. Dia tidak tahu adakah mereka akan bertemu lagi, tetapi di
           balik konflik itu, sesuatu yang indah telah tercipta. Aireen hanya berharap
           suatu hari, mereka dapat bertemu kembali di bawah langit jingga emas
           Cappadocia di dalam belon panas.


                                             *********************











                                                                                                  22
   17   18   19   20   21   22   23   24   25   26   27