Page 45 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 45

MOGA GAZA KEMBALI TERSENYUM
                                  Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali
                      Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur



                             Bumi yang bersimbah darah dan air mata.
                             Gaza berdiri terluka, namun tidak sesekali rebah.
                             Langit menjadi saksi jerit perih duka nestapa.
                             Istana batu runtuh bersama-sama impian.
                             Gemuruh senjata menyalak di ufuk senja.
                             Menelan tawa anak-anak yang sudah lama kehilangan bicara.
                             Di celah-celah runtuhan, mereka berlari tanpa hala.
                             Mencari teduh bawah bayang kehancuran.
                             Seorang ibu memeluk tubuh kaku si anak kecil.
                             Jiwanya terpelosok di lautan derita.
                             Seorang bapa menggenggam doa yang lusuh.
                             Mengharap sinar muncul menerangi kelam.


                             Gaza bumi yang pernah subur.
                             Kini seperti neraka bertiang debu.
                             Rembulan enggan terbit dan menyinari.
                             Angin membawa ratapan duka ke penjuru dunia.
                             Dunia terus bisu dan kaku.
                             Suara Gaza makin tenggelam dalam lautan peluru.
                             Senyuman telah lama mati daripada wajah-wajah itu.
                             Digantikan dengan wajah duka, tiada penawarnya.
                             Di celah-celah serpihan yang berselerakan.
                             Semangat tetap terus menyala di dada luka.
                             Doa terus dititip agar dapat menggapai langit.
                             Harapan terus diulit dalam kudus takdir.


                             Anak-anak Gaza mendewasa dalam kezaliman,
                             Menuntut ilmu dari kitab yang dibasahi darah.
                             Tubuh penuh luka, namun jiwa mereka membara.
                             Kerana Gaza bukan sekadar tanah.
                             Gaza simbol jiwa yang tak akan lemah dan padam.
                             Penzalim menggila, menari di pentas kehancuran.
                             Namun Gaza tetap teguh, tidak sesekali tunduk.
                             Di setiap dinding runtuhan.
                             Terpahat janji sebuah kebangkitan.
                             Di bawah langit bayu yang tak terlihat namun terasa.
                             Kami titipkan Gaza dalam sujud dan doa.
                             Moga belenggu derita ini kelak terurai.
                             Moga Gaza kembali teguh bersinar.

                             Wahai Gaza, engkau tidak sendiri!
                             Kami mendengar tangisanmu.
                             Kami menggenggam harapanmu.
                             Kami bersama-sama dalam perjuanganmu.
                             Di suatu hari nan damai.
                             Fajar akan menyingsing di ufukmu.
                             Suria akan kembali bersinar.
                             Pelangi akan mewarnai tanahmu yang berdarah.
                             Gaza akan pasti kembali tersenyum.
                             Merdeka dalam rahmat Sang Pengatur Takdir!





                                                                                                  45
   40   41   42   43   44   45   46   47   48