Page 51 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 51
IZINKAN AKU BERPALING DARIMU
Asep Yudha Wirajaya (sambungan 3)
Mikail diam sejenak sebelum akhirnya mengaku. Beberapa rekaan yang
membawa kejayaan awalnya diilhami atau lebih tepat, ditiru dari
seorang pereka lama yang kini sudah tiada. Dia menganggap itu
sebagai ‘inspirasi’, tetapi orang lain menganggapnya ‘plagiarisme’.
“Saya tidak punya pilihan waktu itu,” akui Mikail. “Saya perlu sesuatu
untuk memulakan, dan sekarang saya sudah jauh lebih baik. Koleksi
yang awak ambil gambarnya adalah asli!”
“Tetapi apa yang awak lakukan ini tetap salah,” Aireen benar-benar
kecewa. “Macam mana saya boleh bekerja dengan seseorang yang
tidak jujur?”
Mikail cuba untuk membela diri, tetapi kepercayaan Aireen telah
musnah. Baginya, seni adalah tentang kejujuran, dan tindakan Mikail
bertentangan dengan prinsip itu. Hubungan mereka retak sejak saat itu.
Aireen kembali ke Istanbul dengan perasaan hampa. Dia berasa telah
menemukan seseorang yang dia percayai, hanya untuk kecewa pada
akhirnya.
Namun, beberapa minggu kemudian, Aireen menerima sebuah kotak
yang diikat dengan reben. Di dalamnya terdapat sepucuk surat
daripada Mikail bersama-sama sebuah gaun hasil rekaannya sendiri.
“Maafkan saya atas segala yang terjadi. Saya tahu saya telah
mengecewakan awak, tetapi pertemuan kita membuatkan saya sedar
akan sesuatu. Seni harus berasal dari hati, bukan daripada keinginan
untuk mendapatkan sesuatu kedudukan. Ini adalah rekaan pertama
saya yang benar-benar jujur, dan saya mahu awak menjadi orang
pertama yang melihatnya. Terima kasih telah membuka mata saya. –
Mikail.”
Aireen melihat gaun itu dengan mata berkaca. Surat itu menunjukkan
bahawa Mikail telah berubah. Dia tidak tahu adakah mereka akan
bertemu lagi, tetapi di balik konflik itu, sesuatu yang indah telah tercipta.
Aireen hanya berharap suatu hari, mereka dapat bertemu kembali di
bawah langit jingga emas Cappadocia di dalam belon panas.
**********
51

