Page 49 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 49
IZINKAN AKU BERPALING DARIMU
Asep Yudha Wirajaya
Universitas Sebelas Maret, Solo, Indonesia
Saat membaca e-mel itu, Aireen hampir tidak percaya. Dia menerima
tawaran itu tanpa ragu sedikit pun. Ini adalah saatnya. Dengan pantas,
Aireen mengemas barang-barangnya ke dalam bagasi hitam untuk
membuat persiapan ke Turki.
Hari yang dinanti-nantikan Aireen telah pun tiba. Aireen menuju ke
lapangan terbang ditemani keluarganya. Perjalanan Aireen mengambil
masa selama 10 hingga 11 jam. Perasaan gembira dan teruja
membuatkan dia tidak berasa lama sepanjang perjalanannya itu.
Hari pertama di Cappadocia dimulai dengan pagi yang dingin di Göreme.
Aireen membawa kameranya ke lokasi yang telah ditentukan di Rose
Valley. Tempat ini seperti berada di dunia lain, penuh keajaiban. Sebagai
seorang jurugambar, Aireen sudah terbiasa dengan keindahan
pemandangan, tetapi Cappadocia mempunyai aura yang tersendiri yang
membuatkan dia terpesona. Semasa dia sibuk menyusun peralatan,
seorang jejaka dengan pakaian kasual dan elegan mendekatinya.
“Awak pasti Aireen,” katanya dengan senyuman ramah.
Aireen menoleh. “Dan awak pasti Mikail.”
“Benar. Terima kasih sudah datang dan menerima projek ini. Saya sudah
lama mengagumi hasil karya awak” jawabnya sambil menghulurkan
tangan.
Aireen mengangguk sambil menjabat tangannya. “Terima kasih. Kita akan
mula sesi penggambaran di sana,” Aireen menunjuk ke arah batu kapur
besar dengan cahaya pagi yang cerah. Mikail tampak ramah dan
profesional, ada sesuatu dalam caranya berbicara yang membuatkan
Aireen berasa selesa dengannya.
Mereka memulai sesi pertama bawah cahaya matahari pagi. Mikail
membawa beberapa model yang mengenakan koleksi pakaiannya,
sementara Aireen dengan cekap mengatur sudut, cahaya, dan pose.
Formasi batu-batu yang megah di belakang mereka menjadi latar
sempurna untuk setiap gambar. Sebagai pemilik butik pakaian mewah,
Mikail juga berpengalaman menjadi model untuk pakaiannya sendiri, dia
tampak professional di hadapan kamera dan tidak kekok.
Semasa sesi penggambaran, Aireen melihat Mikail yang berdiri tidak jauh
daripadanya, yang mengawasi setiap masa sesi tersebut. Dia tidak dapat
mengabaikan kehadiran Mikail yang berkarisma. Ada sesuatu yang
berbeza tentang Mikail. Dia tidak seperti klien sebelumnya yang hanya
peduli pada hasil akhir. Namun, Mikail tampak terlibat, bahkan sesekali
memberi sokongan dengan nada yang lembut.
Ketika sesi pagi berakhir, Mikail mendekatinya. “Mata kamu tajam,” komen
Mikail ketika melihat hasil gambar pertama Aireen. “Kamu tahu bagaimana
untuk menjadikan pakaian tersebut sebagai objek utamanya, bukan hanya
tertumpu kepada modelnya sahaja.”
“Terima kasih,” Aireen sedikit tersipu.
“Adakah ini pertama kali awak di Cappadocia?” Mikail merenung matanya.
Aireen mengangguk. “Ya. Saya sudah lama ingin datang ke sini, dan ini
seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Saya teringin untuk berdiri di atas
belon udara.”
Mikail tersenyum. “Cappadocia memang mempunyai cara untuk membuat
orang jatuh cinta. Saya sering datang ke sini untuk mencari inspirasi. Saya
boleh menunjukkan beberapa tempat yang mungkin akan buat awak jatuh
cinta.” 49

