Page 25 - BUKU PANDUAN PhD 20142015
P. 25
KAEDAH-KAEDAH UNIVERSITI MALAYA
(IJAZAH DOKTOR FALSAFAH) 2007
PADA menjalankan kuasa yang diberi oleh seksyen 31 dan subseksyen 32(1) Perlembagaan
Universiti Malaya 1997 [P.U. (A) 107], Lembaga Pengarah Universiti membuat kaedah-kaedah
berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
1. Nama, Mula Berkuasa dan Pemakaian
(1) Kaedah-Kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Universiti Malaya
(Ijazah Doktor Falsafah) 2007 dan hendaklah berkuat kuasa mulai sesi
akademik 2007/2008.
(2) Kaedah-kaedah ini hendaklah terpakai kepada semua calon program pengajian
ijazah Doktor Falsafah yang diterima masuk sebelum dan pada sesi akademik
2007/2008 dan selepas itu.
2. Tafsiran
Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteks menghendaki makna yang lain—
“bilik peperiksaan” ertinya premis untuk menjalankan peperiksaan bagi sesuatu kursus
atau kursus-kursus;
“calon" ertinya seseorang yang telah berdaftar bagi menjalani program pengajian ijazah
Doktor Falsafah;
"Dekan Fakulti" ertinya Dekan Fakulti Universiti dan termasuk mana-mana Pengarah atau
Ketua Akademi, Pusat, Sekolah atau Institut yang dilantik di bawah subseksyen 21(4) dan
(5) Perlembagaan;
"Fakulti" ertinya mana-mana Fakulti Universiti dan termasuk mana-mana Sekolah, Pusat,
Akademi dan Institut Universiti yang ditubuhkan di bawah subseksyen 21(1)
Perlembagaan;
“Ijazah” ertinya ijazah Doktor Falsafah Universiti;
"Jabatan" ertinya mana-mana jabatan pengajian Fakulti dan termasuk mana-mana
bahagian pengajian Fakulti;
“Jawatankuasa Pemeriksa” ertinya jawatankuasa yang ditubuhkan di setiap Fakulti untuk
maksud menimbang dan menilai keputusan peperiksaan calon sepertimana yang
diperuntukkan dalam peraturan-peraturan kepada Kaedah-Kaedah ini;
“Ketua Jabatan” ertinya Ketua mana-mana Jabatan pengajian Fakulti termasuk Pengerusi
mana-mana bahagian pengajian Fakulti atau Penyelaras Program di mana berkenaan;
25