Page 28 - BUKU PANDUAN PhD 20142015
P. 28
(2) Walau apapun peruntukan dalam perenggan (1)(a) dan (b), dalam kes-kes yang
tertentu dan tertakluk kepada kelulusan Senat, Fakulti boleh diberi kelonggaran
untuk menerima calon yang mempunyai kelayakan selain daripada yang
terkandung dalam syarat kemasukan yang sedia ada.
(3) Walau apapun yang diperuntukkan oleh subkaedah (1) dan (2), Universiti boleh
mempertimbangkan untuk menerima masuk ke program pengajian Ijazah
seseorang yang mempunyai kelayakan ijazah Sarjana Muda yang cemerlang
(PNGK 3.7 dan ke atas atau yang setaraf dengannya), tertakluk kepada kemajuan
pengajiannya akan dipantau dan calon dikehendaki membentangkan kemajuan
penyelidikannya dalam satu seminar dalam tempoh—
(a) dua semester dari tarikh pendaftarannya, bagi program pengajian Ijazah
secara Penyelidikan; atau
(b) empat semester dari tarikh pendaftarannya, bagi program pengajian
Ijazah secara Kursus dan Penyelidikan.
(4) Sekiranya kemajuan pengajiannya memuaskan, calon boleh dibenarkan untuk
meneruskan pencalonannya sebagai calon Ijazah, tetapi sekiranya kemajuan
pengajiannya tidak memuaskan, status pencalonannya ditukarkan kepada ijazah
Sarjana yang berkenaan.
(5) Kemasukan seseorang calon hendaklah atas budi bicara Fakulti. Walau
bagaimanapun dalam keadaan-keadaan tertentu Dekan Fakulti boleh, atas
perakuan Timbalan Dekan yang bertanggungjawab bagi urusan program
pascasiswazah dan Ketua Jabatan berkenaan, menerima masuk seseorang yang
memenuhi kelayakan berikut:
(a) Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkaitan dan PNGKnya tidak kurang
daripada 3.0 (atau setaraf dengannya); dan
(b) Ijazah Sarjana Dengan Cemerlang dalam bidang berkaitan atau ijazah
Sarjana dengan PNGK tidak kurang daripada 3.0 (atau setaraf
dengannya) mengikut yang mana berkaitan.
BAHAGIAN III
PENDAFTARAN
5. Pendaftaran
(1) Sesiapa yang ditawarkan oleh Universiti untuk mengikuti program pengajian
Ijazah dan menerima tawaran tersebut dikehendaki mendaftar mengikut peraturan
di bawah Peraturan-Peraturan Universiti Malaya (Ijazah Doktor Falsafah) 2007.
(2) Tertakluk kepada subkaedah (3), sesiapa yang mendaftar seperti yang tersebut di
subkaedah (1) adalah pelajar Universiti dan digelar calon program pengajian
Ijazah. Nama calon tersebut hendaklah disenaraikan dalam daftar pelajar
Universiti sehingga calon berjaya menamatkan program pengajiannya dan Senat
mengesahkan calon tersebut layak dianugerahkan Ijazah atau sehingga atas
sebab tertentu calon tersebut hilang status menjadi pelajar Universiti mengikut
yang mana terdahulu.
28