Page 6 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 6
MENANG HAKIKI DAN DIA YANG PERGI
Kamariah Kamarudin
Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor
SYAWAL 1446, RANAH REMBAU
Hujan mengguyur di pagi raya. Dari celahan jendela, dia tersedu hiba. Hujan sejak
dinihari sehingga pagi menjelma. Khabarnya di beberapa tempat di Selatan, air telah
masuk ke rumah penghuninya. Simpati menerpa. Bagaimana agaknya keadaan
penghuni yang dilanda musibah banjir kala raya menyapa? Bagaimana perasaan
anak-anak kecil yang tidak memahami getir kehidupan kerana ghairah mahu
merayakan Aidil Fitri yang dinantinya?
Buat pertama kali dia menyambut Syawal di ranah kelahiran gemulah ayahanda
kepada bondanya. Tidak pernah dia menyangka. Perancangan mahu menikmati
keindahan awan gemawan dengan gunung ganang nan menghijau terlaksana jua.
Itu yang dirindui saban masa setelah berhari-hari menghadap skrin komputer untuk
menyiapkan tugasan yang diarah pihak pentadbir tempatnya menyumbang bakti,
dan jasa.
Benar dia mengucapkan rasa terharu, dan terima kasih kepada suaminya. Sosok
lelaki yang dikurniakan Ya Rahman Ya Rahim untuk dirinya yang sentiasa kelibut
dan obses dengan kerjaya. Selama tempoh menjadi ahli akademia, kerjanya adalah
menulis, membaca, mengkaji, menyelia, dan memenuhi undangan seminar, bengkel
dan wacana. Tuhan, jika ditakdirkan lelaki yang menjadi suami tidak memahami
rentak kerjayanya, pasti huru hara sebuah rumahtangga.
Tuan Haji Ir. Lukmanul Hakim, hanya Ya Fattah Ya Razzak Ya Wahhab yang
membalas segala budi dan ketulusannya. Ranah Rembau, kami datang dengan
segunung harapan dan wangian doa. Ranah Rembau, kami datang dengan
sekarung perasaan dan haruman cahaya. Semoga nanti beroleh barakah dan
rahmah seusai menyaksikan keindahan alam ciptaan Tuhan yang terbentang luas di
ranah Rembau persis berada di Sumatera Barat, Indonesia.
Kita serumpun, itu yang diulang-ulang Profesor Dr. Hajah Samsiah, tokoh bahasa
dan sastera Jogjakarta yang dia temui kala menghadirkan diri di Koferensi
Antarabangsa di Pergunungan Cianjur, Jawa Barat yang sarat pengalamannya. Dia
sangat tersentuh pabila tokoh istimewa dalam bidang kepakarannya itu menyuntik
perasaannya yang barangkali terlena dalam tempoh bergelut dalam dunia akademia.
Dia terlena dalam mimpi yang panjang akibat tersihir dengan tamadun Barat yang
telah merobek khazanah bangsanya. Dia tanpa sedar telah mengizinkan teknologi
Barat memusnahkan segala warisan tradisi yang dipunya. Dia alpa. Dia lagha. Dia
terpeliut daripada landasannya. Dia tergelincir daripada pegangannya. Dia mohon
sungguh-sungguh supaya dia masih belum terlewat untuk bermula.
Walhal warisan tradisinya sarat kehebatan yang sangat luar biasa. Walhal Khazanah
Nusantara kaya dengan keistimewaan dan keunikan yang Barat tidak punya. Ya,
semasa gemulah ayahanda kepada bondanya ada, pernah dikisahkan sebegitu
rupa. Cuma sayang sekali dia tidak peduli dan mahu menulis apatah lagi mahu
mengkaji susur galur keturunannnya. Kini setelah semuanya tiada, rasa terkilan itu
menyapa. Pernah dia termenung panjang di atas meja di kamar kerja. Sebal, kesal
dan sedih berbaur dalam dirinya.
Maka, Syawal ini mudah-mudahan dibukakan jendela. Agar angin yang masuk
menerobos kamar kerjanya diberikan cahaya. Bukan angin hanyir dan busuk
menerpa. Bahkan angin yang berterbangan membawa bersamanya semerbak
kasturi dan cendana. Sebagaimana yang terungkap dalam Surah az-Zariyat
menerusi al-Quran yang perlu dihadam, dan diteroka. Rembau, kami datang dengan
semangat raya, dengan inspirasi kemenangan setelah sebulan menahan noda dan
dosa. Rabb, terimalah kedatangan kami demi ranah Rembau nan tercinta!
6

