Page 7 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 7
Menang Hakiki Dan Dia Yang Pergi: Kamariah Kamarudin (sambungan 2)
KAMPUS BANGI, DAN OBE
Dia mahu menangis tetapi cuba dipertahankan sungguh-sungguh agar tidak jatuh air
matanya. Dia tidak mahu menunjukkan dirinya yang lemah di hadapan para mahasiswa. Dia
cuba beraksi sebaik mungkin tatkala beberapa mahasiswa menemuramahnya. Sebaik usai
wacana yang dianjurkan oleh pihak kampus Bangi, dia terkasima. Dia tidak menyangka
soalan itu yang diajukan untuknya. Dia sebenarnya tersepit antara manusiawi dan arahan
yang datang menerpa. Dia tidak sempat untuk membuat persiapan untuk hari wacananya.
Lantaran terlalu memberikan perhatian kepada pengiraan peratus ukuran pencapaian
mahasiswa. Sejauh mana pencapaian mahasiswanya dalam bidang kemahiran,
keusahawanan, dan yang tertera dalam skema proses pembelajaran yang dituntut oleh
pihak pembangunan pendidikan negara. Berapa peratus mahasiswa mencapai tahap PO1,
PO2, PO3, PO4, PO5, PO6, PO7, PO8, PO9, PO10, EM, NS, yang diberikan
pengukurannya? Dia bingung seketika. Saat arahan itu datang, dia kelu tanpa kata. Selama
tempoh 20 tahun dia berkhidmat, adakah dia gagal melahirkan mahasiswa? Selama tempoh
20 tahun dia menyumbang bakti, adakah para mahasiswa tidak dapat menguasai ilmunya?
Selama tempoh 20 tahun dia bertungkus lumus bergelut dalam dunia akademia, adakah
mahasiswanya tidak beroleh kerjaya yang didamba?
Para ahli akademia kelu tanpa suara. Kala diberikan arahan demi arahan daripada
pelaksana. Ukuran dengan penilaian terma yang menyesakkan dada. Istilah yang
memeningkan kepala. Apakah makna OBE yang diulang-ulang, dengan istilah CAP, CAM,
CAS yang begitu membuatkan ketenangan diusir dalam jiwa. Mahu memahami istilah suatu
perkara. Mahu menafsir pedagogi suatu perkara lain jua. Mahu melaksanakan tahap ukuran
suatu perkara lagi yang membebankan kerja. Musabab itu ramai yang bersara. Mereka
mengambil Keputusan untuk bersara awal kerana beban kerja yang terlalu menyesakkan
dada. Belum dikira tekanan demi tekanan daripada ketua yang tidak memahami jiwa para
akademia. Dibuatnya para akademia seperti guru tadika. Dibuatnya para akademia seperti
kerani sekolah yang patut menyiapkan fail dan segala. Dibuatnya para akademia seperti
tukang kebun yang wajar membaja tetapi hasil diraihnya. Demi tuntutan KPI yang didamba.
Demi tuntutan KPI yang mahu dikeleknya. Demi namanya sebagai ketua yang bakal dijulang
oleh pihak kampus yang dihuninya.
OBE, ramai yang tidak lena. Ramai yang tidak lalu makan dan menghabiskan masa
bersama-sama keluarga. Ramai yang terpaksa mengorbankan masa hujung minggu dengan
menghadap skrin komputer kerana didesak menyiapkannya. Ramai yang mengunjungi klinik
untuk mendapatkan rawatan kerana diserang darah tinggi secara tiba-tiba. Ramai yang
bertekak dengan ahli keluarga kerana tidak punya masa untuk menyediakan juadah
bersama-sama. Ramai yang mendiamkan diri seribu bahasa kerana tidak terungkap dengan
sebuah perkataan pabila kerap terjadi bahan yang ditaip dalam sistem “Excel” hilang dan
terpadam secara tiba-tiba.
Ini bukan kerja para ahli akademia. Ini kerja pengurusan yang wajar mengarahkan para
kerani melakukannya. Ini bukan kerja para ahli akademia. Ini kerja pihak pengurusan yang
wajib mengerahkan para kerani mengemaskini data ukuran pencapaian mahasiswa. Dengan
siapa untuk disuarakan rasa? Dengan siapa untuk dikongsi tekanan yang menyapa?
Dengan siapa untuk dilontar segala keresahan yang menyelubungi diri saban masa?
Allah Ya Latiff Allah Ya Halim Allah Ya Aliyy, Yang Maha Lembut Yang Maha Penyantun
Yang Maha Tinggi, maka kurniakan segala sifat kemuliaan kepada hamba-Mu yang hina.
OBE, mohon lunakkan hati para akademia. OBE, usah ganggu ketenangan para akademia.
OBE, usirkan kegalauan dan kegundahan para akademia. Kami mahu menumpukan kerja
terhadap perkara yang lebih utama. Kami mahu menulis, membaca, mengkaji, menyelia,
mengasuh peribadi mulia mahasiswa denga aman tenteram dalam jiwa. Supaya suatu masa
generasi yang meninggalkan kampus ini dapat membangunkan negara yang tenat dengan
korupsi demi korupsi dengan jayanya.
OBE, mohon tinggalkan kami dengan ibrah dalam Surah al-Qamar, surah yang kelima puluh
empat dalam al-Quran yang wajib diteroka, dan dibaca. Surah yang mengandungi 55 ayat
yang bermaksud “bulan” itu banyak menebarkan cahaya. Surah yang mengajak manusia
memahami bahawa ayat 17 menyerlahkan tentang kepentingan kalamullah, iaitu “Dan demi
sesungguhnya, Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran,
maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran daripadanya?”
7

