Page 8 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 8
Menang Hakiki Dan Dia Yang Pergi: Kamariah Kamarudin (sambungan 3)
ZULKAEDAH, RANAH KEMAMAN
Dia sampai ke rumah pusaka setelah lewat senja. Azan maghrib berkumandang
dalam tenggelamnya mentari di kaki langit bercahaya. Dia sebak tiba-tiba. Mahu
menangis semahu-mahunya. Terungkai rindu pada gemulah bondanya. Terubat
rindu pada almarhum ayahandanya. Dua sosok yang sangat dirindunya. Kerinduan
yang tidak terungkap dengan kata-kata. Kerinduan yang hanya dapat dirungkai
kala mengingati segala manisnya memori yang tersemat dalam dada. Asuhan
bonda dan ayahanda yang tetap terpahat dalam diri yang tidak sesekali
dilupakannya.
Susun atur perabot dalam rumah pusaka masih tidak berubah bagai musim kanak-
kanaknya. Ruang tamu yang menempatkan lemari kayu antik, meja makan
berkerusi lapan, dan rak buku yang menempatkan kitab agama masih agam
menyambut ketibaannya. Dadanya berombak semula. Dia terbayang wajah
ayahanda dan bonda yang menunggu di depan pintu rumah sebaik tayar
keretanya mencecah laman rumah seperti lazimnya. Dia terlihat-lihat senyuman
ayahanda dan bonda yang terukir di wajah masing-masing kala puteri dan
puteranya turun daripada kereta. Dia terlihat-lihat aksi ayahanda dan bonda yang
sibuk menarik bagasi kami dan menghulurkan hidangan istimewa untuk dijamunya.
Nasi dagang, keropok lekor, sata ikan, kuih kayu kamat, kuih bakar, kuih akok,
kuih cek mek molek antara yang terhidang di atas meja. Air kelapa, air kedondong
dan air mangga yang dipetik dari laman rumah yang ditanam ayahanda sudah
tersedia dalam peti ais menunggu kami menikmatinya. Lauk pauk yang menjadi
kegemaran kami, masak lemak cili api ikan tenggiri, ikan kembung singgang, asam
pedas ikan merah, dengan ulaman cekur, pucuk gajus, pegaga, dan pencecahnya
tersedia untuk dimakan bersama-sama. Tuhan, segalanya terlayar di hadapan
mata. Bagai sebuah filem yang ditayangkan semula.
Bonda dan ayahanda yang dicintai dengan sepenuh jiwa raga. Semoga syurgalah
tempat kalian tanpa azab dan hisab atas segala kasih sayang yang dicurahkan
tanpa sempadan dan noktahnya. Kami begitu ditatang bagai minyak yang penuh
dengan sarat haruman kasih sayang melimpah ruah sehingga hayatnya kembali ke
kampung abadi pada tarikh yang telah ditetapkan Yang Maha Pencipta.
Ranah Kemaman, kami datang dengan rindu membara. Kami datang dengan
wangian cinta. Mudah-mudahan segala manisnya memori tetap bersemadi dalam
jiwa dengan rimbunan kasih sayang rahmat-Nya. Allah Ya Sami’ Ya Bashir Ya
Raqib, mohon pandang, dengar, dan awasi kami dengan sebaik-baiknya!
KAMPUS LEMBAH PANTAI, OBE
Dia tidak keruan jadinya. Tarikh akhir untuk kertas kerja penuh seminar yang bakal
dihadiri hanya sehari berbaki untuk dilaksana. Buku-buku rujukan berselerak di
atas meja. Tugasan mahasiswa bersepahan di suatu sudut rak buku yang lain
pula. Dadanya berombak kencang sejak malam sehingga fajar menyapa. Tidurnya
sangat tidak lena. Arahan daripada pihak pengurusan fakulti mahu mendapatkan
semua dokumen OBE sangat menganggu harinya. Dia tidak sempat untuk
menyempurnakan ukuran dan pengiraan pencapaian pengajarannya. Namun dia
dapat maklumat, dua orang mahasiswanya diterima sebagai staf di salah sebuah
penerbit terkenal tanah air walaupun upacara konvokesyen belum bermula.
Malahan 10 orang anak didikannya dalam kursus Penglahiran Bakat Kreatif telah
menembusi majalah berprestij tanah air dengan karya kreatifnya dapat dinikmati
pembaca. Bukankah ini suatu pencapaian yang luar biasa? Untuk semester ini,
rata-rata mahasiswa yang diasuhnya telah mencipta pencapaian yang sangat
dibanggakan sementelahan dapat menyumbang untuk anak bangsa pula.
8

