Page 11 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 11
MENYUSURI WARISAN BATAK DI PERKAMPUNGAN BATAK,
DANAU TOBA, INDONESIA
Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali,
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Ketika jam menunjukkan pukul dua petang, 14 Ogos 2025 (Khamis),
langit Danau Toba seakan-akan menyambut kedatangan rombongan
kami, 30 orang mahasiswa dan mahasiswi mobiliti outbound bersama-
sama empat orang pensyarah, kesemuanya dari Akademi Pengajian
Melayu (APM), Universiti Malaya (UM). Perjalanan akademik itu
menemukan mereka dengan sebuah desa yang penuh cerita, iaitu
Kampung Batak, Danau Toba yang merupakan sebuah perkampungan
Batak yang masih memperlihat budaya masyarakat Batak, dan warisan
leluhur masih teguh berdiri.
Kami tiba menaiki bot lebih kurang 45 minit dan tiba di Pelabuhan
Sallagan, kemudian kami berjalan kaki menuju ke perkampungan Batak
di situ. Rombongan disambut dengan senyuman dan kami diajar menari
tarian Batak diiringi dengan irama muzik tradisional, dan lenggok tarian
masyarakat Batak. Rumah-rumah kayu beratap runcing berdiri megah
bagaikan penjaga masa lalu, menceritakan kisah nenek moyang yang
tidak pernah sirna ditelan zaman. Para mahasiswa terpukau bukan
sahaja dengan keindahan bentuknya, tetapi juga dengan roh yang
terkandung di sebalik setiap ukiran dan simbol adat.
Sepanjang tiga jam kunjungan itu, antara jam 2.00 hingga 5.00 petang,
mahasiswa diberi peluang untuk mendengar, menyaksikan, dan merasai
sendiri denyut budaya Batak. Percakapan dengan penduduk di situ
membuka ruang wacana tentang falsafah hidup, adat perkahwinan,
serta nilai kekeluargaan yang erat. Sesekali, ada yang termenung,
seolah-olah mencari persamaan antara budaya Batak dan budaya
Melayu yang sama-sama lahir dari akar Nusantara. Di sini kita belajar
bahawa budaya bukan hanya tinggalan sejarah, tetapi cahaya yang
menuntun kita ke masa depan. Mahasiswa kita tidak sekadar melihat,
tetapi menghayati dan membawa pulang semangat kebersamaan
serumpun.”
Ketika matahari condong ke barat, Danau Toba memantulkan cahaya
emas yang seakan-akan mengucapkan selamat jalan kepada
rombongan. Lawatan itu berakhir, tetapi dalam jiwa mahasiswa dan
pensyarah, ia baru sahaja bermula sebuah perjalanan batin yang
menanam perasaan cinta kepada akar budaya sendiri, sambil membuka
ruang penghargaan kepada keindahan budaya orang lain.
Kampung Batak bukan lagi sekadar destinasi, tetapi menjadi cermin
Nusantara yang memperlihatkan bahawa di balik kepelbagaian, kita
tetap serumpun; di sebalik jarak, kita tetap dekat; dan di sebalik nama
yang berbeza, kita tetap satu dalam jiwa kebudayaan.
11

