Page 9 - CEREKA_APM_Mei_Ogo2025
P. 9

Menang Hakiki Dan Dia Yang Pergi: Kamariah Kamarudin (sambungan 4)




          Jadi, mengapa diperlukan lagi ukuran OBE yang benar-benar membebankan para
          akademia? Mengapa diperlukan lagi ukuran OBE yang tidak relevan dalam membentuk
          sahsiah mahasiswa bijaksana? Mengapa diperlukan lagi ukuran OBE yang hanya untuk
          meraih KPI yang tidak membawa makna dalam sistem pendidikan negara?

          Wajib perhatikan surah az-Zariyat dalam kitabullah yang mengandungi 59 ayat ini begitu
          membawa ibrah yang banyak untuk manusia. Surah yang bermaksud angin berterbangan
          itu wajib dihadam dan difahami khususnya pada ayat 49-50 yang bermaksud: “Dan tiap-
          tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati kekuasaaan Kami dan
          mentauhidkan kami. Katakanlah wahai Muhammad SAW kepada mereka: “Maka segeralah
          kamu kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan taat, sesungguhnya aku diutuskan
          Allah SWT kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata.”
          OBE, mohon berundur agar lapang jalan kami dengan haruman angin yang bermukim
          dalam jiwa.


          ZULHIJJAH 1446, RANAH BAGAN DATOH

          Sekian lama tidak dijejakinya kaki ke ranah kelahiran allahyarhamah opahnya. Dia sendiri
          tidak ada jawapannya. Mengapa dia seolah-olah tidak tergerak hati untuk bertandang ke
          ranah ini sebagaimana lazimnya kala semua ahli keluarga masih ada. Teringat dia kala
          menjelangnya raya, gemulah bonda dan ayahanda akan menyusun atur jadual perjalanan
          mereka sekeluarga. Bonda merupakan sosok yang sangat berdisipln orangnya. Barangkali
          diwarisi daripada ayahandanya yang merupakan seorang guru besar yang mentadbir
          banyak sekolah dengan jayanya.

          Saban tahun pabila menjelang raya, kami akan berselang seli menyambutnya sama ada di
          ranah sebelahnya atau suaminya. Kebijakan bonda dalam menyusun jadual perjalanan
          keluarga juga amat disanjunginya. Dengan persiapan bagasi, makanan dan ole-ole yang
          tersusun dalam bonet kereta begitu membuatkan ahli keluarga menyenanginya. Bonda
          tidak pernah melupakan ole-ole untuk semua ahli keluarga sebelah suaminya.
          Sebagaimana pemberian ole-ole untuk semua sanak saudaranya di kampung halamannya
          begitu yang dilakukan untuk kaum keluarga sebelah suaminya.


          Maka, pelajaran itu sangat berguna untuknya setelah bonda dan ayahanda tiada.
          Ketulusan bonda dalam menyemarakkan ukhwah begitu membuatkannya kagum dan
          terkesan sampai bila-bila. Walaupun kekadang bonda tidak disukai oleh sesetengah orang,
          namun akhlaknya mengatasi kebobrokan yang menyapa. Bonda tetap mengukir senyuman
          bagaikan tiada apa-apa walhal perilaku orang yang tidak menyenangi bonda itu amatlah
          dahsyat dan melukakannya. Bonda pernah difitnah dengan pelbagai kata-kata. Bonda
          pernah dizalimi dengan kepongahan saudara mara sebelah suaminya. Namun bonda tidak
          sesekali mengalah dengan tekanan yang menghunjam dirinya. Bagaikan raksasa yang
          membalut diri bonda kata-kata nista itu dibiarkan berterbangan bagaikan angin yang keluar
          masuk daripada jendela.


          Bonda teguh dengan prinsipnya. Bonda tekal dengan pegangannya. Akhlak bonda yang
          diwarisi daripada nenda Halimaton Sa’adiah begitu membungkus erat tubuhnya. Dengan
          zikrullah dan solat yang menjadi perisai bonda begitu membuatkan dirinya terkedu dan
          hilang kata-kata. Rabb, semoga syurgalah tempat bonda tanpa azab dan hisab atas segala
          kebaikan yang dipamerkan di atas muka bumi nan fana.


          Ranah Bagan Datoh, kami datang dengan seraga keinsafan setelah semua sanak saudara
          suami bonda dipanggil pulang akibat kebakaran rumahnya. Tragedi tanggal 1 Zulhijjah
          1443 yang mengorbankan seluruh ahli keluarga dan harta benda cukup membawa erti
          muhasabah buat semua. Kami terkejut bukan kepalang kerana rumah banglo dua tingkat
          itu dihiasi dan dibekali dengan kelengkapan yang kebal dan luar biasa. Rumah
          peninggalan susur galur moyang Syeikh Abu Saleeh seorang agamawan yang tersohor di
          bumi Darul Ridzuan kerana menyumbang bakti dalam mendidik anak-anak di madrasah,
          akhirnya tumpas angkara kedunguan generasinya.











                                                                                                   9
   4   5   6   7   8   9   10   11   12   13   14