Page 38 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 38

LANGKA(U)WI


                                   Nur Anishaa Amilia Mohd Azman

                 Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur




                            Kulangkau dari kota ke pulau,

                            dari darat ke segara,
                            demi mencari ilmu-ilmu di bumi Langkawi.
                            Nisbah ilmu dan pengalaman itu kuratakan,

                            seperti air yang mencari jenisnya,
                            aku juga ingin meneroka tanah keramat yang

                            sarat dengan sejarah.
                            Bagaimana tertumpahnya darah Mahsuri,
                            bagaimana terombang-ambingnya persahabatan

                            dua gergasi,
                            begitulah ianya menjadi hikayat dalam tradisi.



                            Perjalanan melangkau ke langit helang ini juga
                            ditemani 44 jiwa yang gembira,

                            suka akan seluruh hiasan langit,
                            suka akan beribu budaya.

                            Kedatangan kami juga seolah-olah dirai alam,
                            dari jauh kedengaran ombak menderu memanggil
                            kami untuk melihat ia beraksi,

                            dari jauh burung-burung sudah bersiul
                            menghiburkan dunia yang sunyi.



                            Dan jika tempat ketenangan dipertandingkan,
                            aku sandangkan kepada Pantai Chenang.

                            Angin sentiasa mendodoi, menidurkan segala
                            resah dalam diri,

                            disulam pula dengan sinaran matahari,
                            aku bagaikan di syurga duniawi.
                            Betapa indahnya ciptaan Dia,

                            sehingga kata-kata juga hilang aksaranya.
                            Sudah kulangkau diri ini ke Langkawi,

                            sudah kulangkau ilmu ini ke utara,
                            semoga 44 jiwa ini terus merindui,
                            kerana aku sudah terperangkap dalam ruang

                            rindu.



                            Biarkan aku. –











                                                                                                  38
   33   34   35   36   37   38   39   40   41   42   43