Page 6 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 6
GEMERINCING DARI LANGIT JAUH
Mawar Safei
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
TIBA-TIBA saya disapa bayang Aliabbas kisyi. Bersama-sama kami ketika itu adalah
gemerincing. Aneh. Bukankah tadi saya baru melihat tompokan merah pati mulberi di
atas saku kemeja putihnya. Aliabbas bersandar di tiang pondok kayu di hadapan rumah.
Talvar. Sedang berhampirannya, pohon mulberi berusia 100 tahun sakti yang terbelah
dua. Sakti kerana pohon mulberi itu berupaya memanggil semua orang untuk datang
memungut buah yang berserakan di tanah. Termasuk saya. Sesiapa sahaja akan
singgah menjamah mulberi paling enak itu. Dari si haloba, oportunis, hingga mereka yang
hidupnya penuh pura-pura, dusta dan kegilaan untuk memiliki semua yang ada. Ya, ini
percakapan kami - Aliabbas, pohon mulberi pondok kayu, talvar dan saya.
Aliabbas sekejap itu menyeringai, separuh menunjuk arah dengan menjinjing kotak
peralatan pertukangannya. Saya segera didorong ke lorong daftar masuk. Sepertinya
saya mengenakan loceng kaki, ada gemerincing bersama-sama langkah cepat saya
menuju balai berlepas. Aliabbas, mantan tukang kayu dari wilayah Baku. Lelaki pikun itu
dan saya berjeda dalam serkupan jaring Cocoons Heydar Aliyev.
Beberapa pintu balai berlepas dikerumuni penumpang yang sudah menunggu lama.
Cengkerang gergasi Heydar Aliyev berdengung hampir di setiap penjuru, sama dengan
kebanyakan pintu keluar masuk setiap bandar besar dunia. Sesekali ada pengumuman
untuk penumpang bersiap terbang atau perubahan nombor pintu dan waktu. Gema dan
talun di sini sana. Sudah bermingguan musim luruh di Baku dan kini sampai masanya
untuk saya terbang pulang ke Tanah Semenanjung, meninggalkan Aliabbas kisyi dan
kisah pohon mulberi.
Tetapi sejak menarik bagasi sambil mengucapkan sağolun yenidən görüşənədək kepada
anak cucu dan tetangga kejiranan pohon mulberi, kelibat Aliabbas masih ada. Salam
selamat tinggal dan semoga berjumpa lagi saya itu ternyata belum terpenuh. Barangkali
Aliabbas belum mahu mati agar saya berteman, setidak-tidaknya di sepanjang
penerbangan ini. Sejak itu juga ada gemerincing yang menyertai kami. Ya, gemerincing.
Seringnya beginilah, ketika pesawat membeluk perlahan seperti ular raksasa mencari
landasan untuk terbang, saya akan terlelap. Sesekali saya merasakan terayun di dalam
buaian, membuang gemuruh bunyi roda kapalterbang yang bergeser keras dengan lantai
jalan keluar. Apabila tersedar, saya sudah berada di dalam awan. Lalu saya mula
mengeluarkan buku atau menghidupkan skrin untuk menonton filem. Lena yang sebentar
tadi memindahkan saya masuk ke sebuah mikrokosmos yang asing dengan
keterbatasan, sekurang-kurangnya untuk 15 jam ini. Lengkung langit, awan, lembayung,
matahari, bulan, pelangi, rintik hujan, puncak gunung dan sayap, mengikuti kami. Ya,
sayap.
Gemerincing.
Sering juga saya mendapat tempat duduk mendekati sayap pesawat. Dari tepi tingkap,
awan menjadi bunga-bunga kubis atau sesekali pula saya memasuki lembah beralun
sebuah negeri kabut misteri lagi magis tanpa penghujung. Ada dongeng antara jalan-
jalan rahsia itu. Mirip apa yang saya lalui setiap hari di sepanjang jalur pekerjaan saya.
Masih banyak yang saya belum faham. Berselisih arah dengan si haloba, oportunis,
hingga mereka yang hidupnya penuh pura-pura, dusta dan kegilaan untuk memiliki
semua yang ada. Itu yang saya katakan tadi. Bukankah di langit terdiri daripada banyak
jalan. Berapa? Saya tidak pasti tegas hitungannya. Tujuh? Sembilan puluh sembilan?
Berlapis atau garis-garis parallel yang tidak memungkinkan pertembungan antara
pesawat yang mengejar kesibukan jadual pendaratan.
6

