Page 8 - CEREKA_APM_Jan_Apr2025
P. 8
Gemerincing dari Langit Jauh: Mawar Safei (sambungan 3)
Sejak di kerusi kabin ini saya sepertinya mahu kembali duduk di pondok
kayu pekarangan rumah Aliabbas. Atau saya mahu kembali bersujud di
Masjid Heydar Aliyev sebelum sempat singgah di Shirvanshah kelmarin.
Di istana lama itu seakan ada tala rindu Aliabbas terhadap belahan
hatinya, Tubukhanim. Ia tidak mungkin terungkai dengan puisi cinta
yang selalu diulang baca. Saya mahu Aliabbas bercerita lagi tentang
Tubukhanim sambil kami menunggu menantunya, Anakhanim
menyiapkan asy, nasi saffron dan juga kuftabozbasy, renihan bebola
daging. Namun saya mendengar pula bagaimana putera sulung
Aliabbas, Aghamukhtar dalam pakaian seragam tentera dengan riwayat
perang dari Mazdok hingga ke Berlin.
Gemerincing.
Saya mengintai mata Aliabbas yang keruh dan ternyata banyak cerita
yang berkumpul di dalamnya, bukan hanya tentang pohon tua berusia
100 tahun yang magis itu. Keajaiban dahan dan daun mulberi yang di
bawah teduhannya terhimpun banyak kenangan; entah datang dari
pelusuk zaman dan debu perang apa. Sekejap itu saya mengenang apa
yang masih dan tidak tahu bila sudahnya pertarungan di mana-mana
sekarang. Ia juga meninggalkan kesan merah di saku baju kemeja
setiap kita sebenarnya. Sekali lagi garau Aliabbas, “betapa tidak
sempurnanya dunia ini.”
Saya meninjau awan di luar kotak tingkap pesawat. Sesekali dilanggar
dan membentur awan, badan pesawat agak bergegar. Sekejap itu
terasa ada taufan yang tiba-tiba memberat dada. Saya menebak
bagaimana saat Elchin menukil renyut rasa watak Aliabbas yang
menyerupai pohon mulberi tua berusia 100 tahun. Betapa begitu banyak
yang tidak dipedulikan apabila menjadi tua.
Gemerincing.
Dari langit jauh saya melihat lintasan sayap, ketika yang sama nada
deru kian nyaring. Kali ini bunyinya seperti rantai yang jatuh di atas batu
licin. Saat berada di dalam awan begini, rasanya saya sedang
menziarahi Madina alias Velizade, watak dari cerpen Men, sen, o ve
telefon. Kuburan suami Madina bukankah juga di langit, bilang
sasterawan Anar Rzayev. Saya melihat Madina alias Velizade berdoa
untuk selalu dekat dengan suaminya yang pernah bertugas sebagai
juruterbang. Saya fikir dia mahu meninggalkan lelaki yang jatuh cinta
dengannya menerusi talian telefon, si Rustam alias Seymur. Lalu saya
mendapati begitu berseleraknya dataran belindan di langit jauh ini.
Setiap satu dengan nisan masing-masing berselang gumpalan awan.
8

