Page 52 - BUKU PANDUAN PhD 20142015
P. 52
BAHAGIAN VI
PENYELIAAN
16. Penyeliaan dan kemajuan pencalonan
(1) Fakulti hendaklah melantik seorang penyelia bagi setiap calon. Bagi pencalonan
yang memerlukan lebih daripada seorang penyelia, Fakulti boleh melantik
penyelia tambahan yang hendaklah mempunyai status yang sama dengan
penyelia pertama yang dilantik. Penyelia hendaklah menjalankan peranan dan
tanggungjawab sepertimana yang ditetapkan oleh Universiti.
(2) Profesor Adjung Universiti, penyelidik pasca-doktoral atau felo penyelidik boleh
dilantik oleh Fakulti sebagai penyelia calon dengan syarat seorang penyelia
tambahan daripada kalangan kakitangan akademik Universiti dilantik bersama
untuk menyelia calon tersebut.
(3) Fakulti boleh melantik seorang penyelia bersama bagi mana-mana calon tertakluk
kepada persetujuan antara staf tersebut dengan Fakulti yang berkenaan.
(4) Fakulti boleh melantik seorang perunding bagi mana-mana calon. Bagi maksud
peraturan ini, istilah “perunding” hendaklah digunakan bagi pelantikan pakar luar
yang bukan daripada kalangan kakitangan akademik.
(5) Penyelia, penyelia bersama (jika ada) dan perunding (jika ada) hendaklah dilantik
sebelum pendaftaran permulaan calon atau pada masa lain mengikut keperluan.
Fakulti berhak menambah, mengurang atau menukar mana-mana penyelia,
penyelia bersama atau perunding dari semasa ke semasa sebagaimana dianggap
wajar oleh Universiti.
(6) Calon adalah dikehendaki mengemukakan laporan kemajuan penyelidikannya
pada akhir setiap semester kepada penyelianya mengikut prosedur yang telah
ditetapkan. Penyelia, penyelia bersama dan perunding yang dilantik hendaklah
membuat penilaian mengenai laporan kemajuan yang dikemukakan tersebut
kepada Dekan Fakulti melalui Ketua Jabatan berkenaan.
(7) Calon yang kemajuannya memuaskan akan diperakukan untuk pencalonan
diteruskan. Calon yang kemajuannya tidak memuaskan untuk tiga semester
berturut-turut akan ditamatkan pencalonannya oleh Fakulti.
BAHAGIAN VII
TESIS
17. Ketetapan tajuk tesis
Tajuk tesis hendaklah dikemukakan kepada Fakulti untuk kelulusan semasa calon
memberi notis untuk penyerahan tesis di bawah peraturan 19 Peraturan-Peraturan ini.
52